MOHAMED Salah yang terlepas sepakan penalti memberi tamparan hebat kepada Liverpool sehingga pengurusnya, Jurgen Klopp mengakui sasaran mereka menghuni kedudukan empat teratas liga semakin terancam selepas kekalahan mengejut 0-1 di Bournemouth.
Skuad kendalian Klopp bertandang ke Dean Court dengan penuh semangat selepas membelasah musuh ketat mereka, Manchester United 7-0, hujung minggu lalu.
Sebaliknya, prestasi luar biasa itu gagal diteruskan Liverpool sekali gus membuatkan harapan mereka untuk menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), berkecai.
Philip Billing menghukum pertahanan Liverpool untuk meletakkan tuan rumah yang bergelut dengan prestasi di hadapan namun Salah melepaskan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua.
Salah muncul penjaring gol terbanyak Liverpool dalam era Liga Perdana selepas menjaringkan dua gol ketika menentang United.
Namun, kegagalan bintang Mesir itu menambah koleksi jaringan kepada 130 gol menyebabkan Liverpool mengalami kekalahan pertama dalam enam perlawanan terakhir liga mereka.
“Banyak perkara yang perlu dilakukan tetapi hari ini (semalam) bukan masa untuk bercakap mengenainya.
“Aksi ini memberi tamparan hebat. Anda tahu situasinya. Anda perlu menerimanya dan cuba bangkit selepas itu.
“Kami mendapat penalti tetapi gagal menyempurnakannya. Jika kami menjaringkan gol ketika itu, ia akan meningkatkan kembali semangat pemain tetapi kami gagal melakukannya. Ia sangat mengecewakan,” kata Klopp. – Agensi