LIVERPOOL mampu menunjukkan prestasi cemerlang di bawah kendalian Arne Slot dan pasukan Eropah kini diyakini takut berhadapan dengan The Reds.

Di bawah Slot, Liverpool telah mengharungi 33 perlawanan dengan keputusan yang mengagumkan, 26 kemenangan, lima seri, dan hanya dua kekalahan.

Terbaru, Liverpool mencatat kemenangan 2-1 ke atas Lille dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. The Reds menang di Anfield pada Rabu, hasil jaringan Mohamed Salah dan Harvey Elliott.

Liverpool kekal sempurna dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini. Dalam tujuh perlawanan, Virgil van Dijk dan rakan-rakan sentiasa menang, mengumpul 21 mata dan menduduki tangga teratas kumpulan.

Bekas pemain Liverpool, Stephen Warnock, menyatakan bahawa pasukan Merseyside ini sangat digeruni oleh pasukan Eropah lain.

 

“Pada awal musim, tidak ramai yang tahu apa yang boleh diharapkan daripada Arne Slot.

“Sejak gol Pulisic untuk AC Milan ketika menentang mereka, Liverpool terus ‘meroket’ lancar. Mereka bertahan dengan baik apabila diperlukan, dan tegas ketika situasi memerlukan.

“Pasukan-pasukan lain akan takut bermain menentang Liverpool,” kata Warnock seperti dilaporkan oleh BBC.

Selepas ini, Liverpool akan berdepan Ipswich Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield pada Sabtu.