SAINGAN bola sepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) 2024 menyaksikan pertembungan dua pasukan yang mara ke final buat kali pertama, selepas Setiawangsa Rangers mengesahkan tiket pentas akhir , Bandar Tun Razak (BTR) FC mengikut jejak mereka apabila merakam kemenangan 2-1 ke atas KL Sunbears di Padang Arena Sukan Azman Hashim, HUKM pada Ahad.
Lebih manis buat BTRFC yang dilatih Khairol Azry Abdul Rahman, ini adalah penyertaan pertama mereka di KLWSL tetapi ia tidak menjadi penghalang buat mereka kekal konsisten sepanjang kejohanan sehingga berjaya ke pentas akhir.
Babak pertama menyaksikan BTRFC hanya memerlukan 11 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Nur Farah Wahida, yang tenang menyempurnakan hantara silang Azza Harniza Basharuddin.
Jaringan awal itu memberi keyakinan buat BTRFC untuk terus mengawal permainan di babak pertama dengan beberapa gerakan yang kerap mengancam pertahanan KL Sunbears namun, kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Tujuh minit babak kedua bersambung, BTRFC terus melebarkan jurang gol dan kali ini giliran Lee Xin YI yang menyempurnakan hantaran silang Azza Harmiza Basharuddin, yang juga saudara kembar Azza Harniza.
Ketinggalan 2-0, Sunbears yang dilatih Belinda Edwin mula meningkatkan tempo permainan dalam usaha meraih gol merapatkan jurang gol dengan BTRFC.
Bagaimanapun jentera serangan Sunbears yabg diterajui Nursyaza Nadzirah Ahmad Marzuki seakan sukar menemui sentuhan penyudah, biarpun deretan peluang gol dicipta rakan sepasukannya. Benteng pertahanan BTRFC yang dikemudi Nur Farah Wahida Norlee pula tenang mematahkan segala serangan lawan yang ternyata meningkatkan moral rakan sepasukannya untuk terus mengawal permainan.
Sunbears hanya berjaya meraih gol saguhati menerusi Balqis Arisha pada minit ketiga masa kecederaan perlawanan, yang jelas sudah terlewat buat pasukannya untuk menjelmakan kebangkitan.
Dalam pada itu, aksi separuh akhir Piala Madani pula menyaksikan Galaxy menewaskan Kelantan FA 3-1 menerusi sepakan penalty selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 tamat perlawanan di Arena Sukan Azman Hashim, HUKM.