PENJAGA gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat mengakui bukan senang buat para pemain untuk menerima berita pemergian Datuk Ong Kim Swee namun menghormati keputusan pengendali itu yang mahukan cabaran baharu.

Fahmi atau mesra disapa Apek mengakui kem Sabah akan mengalami kerugian kerana kehilangan khidmat Kim Swee namun dia mahu kesemua pemain bersatu hati dan kekal fokus untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan.

Apek yang bersama-sama Ong Kim Swee sejak dari pasukan B-23 tahun kebangsaan menjadi sebahagian daripada proses transformasi yang dilakukan pengendali itu dalam menaikkan semula nama Sabah dalam peta bola sepak Malaysia.

“Kita perlu akui yang jurulatih dan pemain datang dan pergi tetapi bagi saya ianya satu kerugian buat Sabah FC kerana kehilangan Datuk Ong Kim Swee tetapi kita perlu terima dan hormati keputusan dia yang pastinya mempunyai sebab tersendiri untuk membuat keputusan ini.

“Sebagai satu pasukan, kami sedih dan akan rindu dengan keputusan ini tetapi kami terima dengan hati yang terbuka dan akan teruskan legasi ini dengan bersatu hati untuk beri yang terbaik buat Sabah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Cheras.

Mengulas mengenai perlawanan Pusingan 16 Piala Malaysia itu, dia mengakui Sabah gembira dengan kemenangan yang dicapai dan dia teruja dapat kembali berkongsi padang bersama pemain-pemain senior yang pernah memenangi Piala Malaysia.

“Syukur dengan kemenangan ini walaupun berdepan pasukan dari Liga A1 dengan semua pemain memberikan apa yang dimahukan oleh jurulatih dan kami berjaya memberikan hadiah perpisahan yang baik buat Datuk Ong Kim Swee.

“Teruja dapat bersama-sama pemain senior dan mereka membuktikan masih berbisa dengan Indra Putra berjaya menjaringkan gol walaupun dibatalkan dan Amri juga berjaya menguji saya,” jelasnya.