JURULATIH Manchester United, Ruben Amorim, mengakui pasukan yang dikendalikannya itu agak goyang selepas perlawanan pertamanya sebagai pengurus berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang Ipswich di Portman Road pada Isnin.

Dalam aksi tersebut, United bermula dengan baik apabila Marcus Rashford menjaringkan gol seawal minit kedua hasil hantaran cantik daripada Amad Diallo.

Namun, skuad The Red Devils gagal mengekalkan momentum, membenarkan Ipswich mendominasi perlawanan sehingga Omari Hutchinson menghasilkan gol penyamaan menerusi rembatan padu sebelum tamat separuh masa pertama.

Amorim, yang baru beberapa hari bersama skuad utama selepas pulangnya pemain-pemain daripada tugasan antarabangsa, mengakui kekurangan masa adalah punca utama persembahan kurang meyakinkan pasukannya.

“Jika anda lihat separuh masa pertama, anda boleh nampak pemain-pemain sedikit takut. Morsy selalu bebas tanpa kawalan, Hutchinson pula beraksi di ruang mati yang sukar dipertahankan.

“Jonny Evans sepatutnya menekan pemain lawan, tetapi kami tiada masa untuk berlatih bersama.

“Mereka keliru kerana kami hanya sempat berlatih dua hari dan keadaan ini menyebabkan beberapa reaksi taktikal yang tidak tepat,” kata Amorim selepas tamat perlawanan. 

Marcus Rashford (kanan) menjaringkan gol seawal minit kedua hasil hantaran daripada Amad Diallo (kiri)

Disamping itu, Amorim turut menekankan keperluan masa untuk memperbaiki tahap kecergasan fizikal dan kefahaman taktikal pasukan.

“Kami perlu memahami permainan dengan lebih baik kerana dari segi fizikal, kami perlu lebih kuat untuk menghadapi tekanan tinggi dan kelajuan permainan. Semua ini memerlukan masa untuk diperbaiki,” tambah Amorim.

dia juga menambah bahawa pemain-pemain terlalu banyak berfikir semasa perlawanan sehingga menghalang mereka daripada bermain dengan lebih yakin.

“Ini adalah perkara pertama dan paling penting, pemain-pemain terlalu banyak berfikir semasa perlawanan, mereka cuba menyesuaikan diri dengan semua yang kami katakan semasa sesi latihan. Namun, kami hanya sempat mengadakan dua sesi latihan sahaja.

“Kami boleh memenangi perlawanan ini, tetapi dalam masa yang sama, kami juga tidak melakukannya. Ia sentiasa sukar bermain dalam liga ini namun, usaha mereka menunjukkan semangat untuk menerapkan apa yang dipelajari.”

Amorim mempunyai beberapa hari untuk memperkemaskan pasukannya sebelum berdepan Bodo Glimt dalam saingan Liga Europa pada Jumaat ini.

Perlawanan itu akan menjadi tugas pertamanya di Old Trafford, sebelum melayani Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris tiga hari kemudian.