KINI giliran saya menjaga keluarga, dan saya perlu lakukan sesuatu untuk membesarkan anak.”

Begitulah gambaran bagaimana Komathy Samudramu akan meneruskan kehidupan bersama tiga anak, selepas suaminya P Rajes meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya Ahad lalu.

Komathy, 36, berkata, sebagai suri rumah, segala urusan membabitkan kewangan diuruskan mendiang suaminya yang juga pemain bola sepak PJ City, dan kini segala beban itu perlu digalasnya.

Tinggal kenangan… gambar mendiang P Rajes bersama S Komathy dan tiga cahaya mata mereka Thivyaalini, Pirutheswar, Kaveenilavan.

“Saya berterima kasih kerana hari ini PERKESO datang memberitahu saya akan terima bantuan bulanan sehingga akhir hayat saya.

“Saya akan gunakan wang itu sebaik mungkin. Selepas ini mungkin saya akan mulakan perniagaan atas talian untuk menjana pendapatan sendiri kerana selama ini saya hanya suri rumah.

“Rumah ini atas nama kami bersama, masih perlu bayar ansuran bulanan kepada bank kira-kira RM1,200 sebulan,” kata Komathy, ketika ditemui di rumahnya di Batu Caves, hari ini.

S Komathy berterima kasih atas keprihatinan PERKESO dan semua pihak yang mengenali P Rajes.

Menceritakan hari kejadian, kira-kira jam 8.30 malam, dia menghubungi mendiang P Rajes beberapa kali gagal bercakap seolah-olah talian tidak jelas.

“Pada jam 11.48 malam, saya lihat telefon ada panggilan dari telefon suami dan waktu itu saya sedang tidurkan anak. Sehingga kawan saya datang rumah memberitahu Rajes kemalangan dan saya fikir hanya kemalangan biasa lalu pergi ke unit kecemasan Hospital Selayang,” katanya, menceritakan.

Begitupun, sesampai di unit kecemasan, dia dibawa ke kawasan lain yang dia tidak menyangka ianya adalah bilik mayat sebelum diminta membuat pengecaman.

Komathy berkata, selain caruman PERKESO, suaminya juga ada mencarum perlindungan insurans.

Sementara itu, abang sulung mendiang, P Saravanan, 40 berkata, pemergian Rajes amat dirasai.

P Saravanan, 40, abang kepada mendiang P Rajes menunjukkan gambar kenangan adiknya bermain bola sepak.

“Kami empat beradik, dua lelaki dan dua perempuan. Saya anak sulung dan dia (mendiang) anak bongsu.

“Tapi kami sebenarnya sebaliknya, saya sendiri berasa seperti dialah anak sulung, paling besar. Dia banyak tolong keluarga, tolong orang lain, tolong kawan-kawan, memang pemergiannya dirasai,” kata Saravanan.

Hari ini, PERKESO mngunjungi kediaman P Rajes, menyampaikan bantuan bulanan RM3,555 di bawah skim PERKESO kepada Komathy.

PERKESO sebelum ini turut menyampaikan wang pengurusan jenazah RM2,000, manakala kelab PJ City yang juga majikan mendiang, menyampaikan RM10,000 kepada balu mendiang untuk pengurusan pengebumian.

Kelab itu juga menyuarakan hasrat menyediakan bantuan kewangan berterusan kepada keluarga mendiang, selain menjadikan perlawanan pertama Piala Malaysia PJ City menentang JDT sebagai tribute kepada mendiang.