BADMINTON bakal mendapat keistimewaan daripada kerajaan apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjanjikan pelaburan besar akan diteruskan untuk sukan itu.

Beliau menegaskan badminton adalah sukan perpaduan negara dan Kerajaan MADANI dan pelaburan besar perlu untuk melengkapkan atlet, jurulatih serta sistem sokongan mereka.

“Melalui Road to Gold, kita telah beri banyak top-up facility termasuk fisio dan rehab supaya setiap kali mereka bertanding, semua keperluan lengkap tersedia,” katanya.

Menurut Hannah, kejayaan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Pearly Tan-M Thinaah di Kejohanan Dunia membuktikan pelaburan kerajaan bukan pembaziran, sebaliknya membuahkan hasil.

“Untuk RTG setiap atlet akan menandatangani kontrak bagi menyatakan komitmen mereka kepada negara.”

Beliau menambah, kemenangan pasangan negara adalah satu kejayaan besar kerana RTG telah melaburkan dana kepada empat-empat atlet berkenaan.

Kedua-dua pasangan itu disambut seperti wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas menyumbangkan emas dan perak buat Malaysia.

“Mereka juga layak menerima insentif SHAKAM iaitu RM20,000 untuk emas dan RM10,000 untuk perak, malah saya telah berbincang dengan Presiden BAM, Tengku Zafrul mengenai tambahan ganjaran ini,” ujar Hannah.