BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar kejutan apabila mara ke final Masters China 2025 selepas menumbangkan pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di Shenzhen Arena, sebentar tadi.
Turun menentang pilihan kedua dari China itu, Tang Jie-Ee Wei langsung tidak gentar sebaliknya mempamerkan aksi bertenaga sejak awal perlawanan.
Meskipun kecundang tipis 22-24 pada set pertama, pasangan negara tetap tenang untuk bangkit menguasai rentak permainan.
Set kedua menjadi milik mereka selepas mengatur strategi lebih kemas untuk menundukkan Yan Zhe-Dong Ping 21-19, sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.
Dengan semangat juang luar biasa, juara dunia 2025 itu tampil dominan di set terakhir sebelum menoktahkan kemenangan 21-17 untuk bertemu Wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran di final.
Kejayaan tersebut bukan sahaja menamatkan rekod buruk bertemu pasangan China itu, malah mengulangi detik manis ketika menewaskan mereka di peringkat kumpulan, Sukan Olimpik Paris 2024.