BEREGU lelaki badminton negara mempamerkan prestasi ebih konsisten di pentas antarabangsa dengan kehadiran Herry Iman Pierngadi, dan lebih kerap menaiki podium, mengungguli kejuaraan.

Legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj memperaku ‘magis’ yang dimiliki jurulatih digelar Naga Api itu, namun beliau berasakan bahawa inilah waktu yang sesuai untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melahirkan lebih banyak pasangan bertaraf dunia.

Menurutnya, berdasarkan ranking dunia, produk BAM yang berada di persada ranking dunia jika dibandingkan dengan pasangan profesional, adalah seimbang dan badan induk badminton negara sepatutnya memiliki lebih gandingan.

Datuk James Selvaraj harap BAM gunakan kesempatan dengan adanya Herry IP, untuk lahirkan lebih ramai pemain beregu lelaki berkelas dunia.

“Sekarang BAM ada 3 beregu terbaik dalam ranking dunia, begitu juga profesional, sudah OK tetapi perlu lebih banyak dibandingkan dengan independent,” kata James, ketika dihubungi Flash Sukan.

Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), BAM memiliki beberapa pasangan dalam Top 50 dunia, diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik (2), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (7),Arif Junaidi-Yap Roy King (24), dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (38).

Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini berada di ranking kedua dunia.

Bukan sahaja dua kali memenangi pingat gangsa Olimpik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini di ranking kedua dunia mempamerkan corak permainan meyakinkan sejak kehadiran Herry IP.

Sementara pemain profesional pula Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (1), Nur Mohd Azryn Ayub-Tan Wee Kiong (25), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (31), dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheng (39).

“Bila Herry masuk, kita boleh tahu apabila pemain mula menerima kaedah dan penekanan diperkenalkannya dan mula konsisten di peringkat antarabangsa, mereka belajar mengenai method dan pemain dapat tahu corak permainan berbeza untuk digunakan dalam situasi berbeza.

“Cuma kadang-kadang, mereka masih mengulangi tabiat lama, suka melambung bulu tangkis tinggi dan penekanan fokus dan tahap konsisten di hujung perlawanan perlu dititik beratkan lagi.”