KONTINJEN negara dipuji sebagai pesaing yang paling tinggi semangat juang pada Temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.
Ketua kontinjen (CDM), Datuk Chong Kim Fatt berkata, beliau menerima pujian daripada kontinjen lain yang menyedari, semangat mahukan kemenangan ditonjol barisan atlet yang sudah beraksi menggentarkan.
“Ramai orang beritahu saya, pasukan awal penuh dengan semangat, mereka cakap pelumba basikal terjatuh berdarah masih bangkit menamatkan perlumbaan, malah semangat melawan pasukan skuasy wanita juga mendapat perhatian,” kata Kim Fatt.
Bagi saya, semangat perjuangan yang atlet kita tunjukkan bukan kerana medal semata-mata.
Berbekalkan semangat juang kontinjen negara di Temasya Hangzhou kali ini, Kim Fatt yakin sasaran 27 pingat mampu dicapai.
Hanya lapan hari sahaja lagi, saingan akan melabuhkan tirainya dan selepas seminggu, 18 pingat, masing-masing tiga emas, tiga perak dan 12 gangsa sudah dirangkul atlet negara, dan emas terkini datangnya dari skuasy berpasukan wanita, dan sukan raket itu dijangka terus menjadi lubuk emas negara sebaik acara individu bermula hari ini.
“Saya harap perjuangan atlet yang berjaya menyumbang pingat menjadi pembakar semangat kepada atlet lain, selagi tidak mencuba, kita tidak tahu hasilnya.
“Selepas ini, setiap sukan yang akan beraksi, bagi saya semuanya ada potensi menyumbang pingat,” katanya.
Beliau turut menaruh keyakinan terhadap sukan skuasy yang akan terus menuai pingat apabila acara individu bermula hari ini.
Kontinjen negara meraih tiga emas menerusi Nur Shazrin Mohamad Latif dalam acara pelayaran, dinghy single wanita ILCA6, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dalam equestrian dressage individu, dan pasukan skuasy wanita yang dibarisi Aifa Azman, Rachel Arnold, S Sivasangari dan Aira Azman.
Pingat perak pula hadir menerusi pasukan e-Sukan Arena of Galor, regu berpasukan sepak takraw dan Tan Cheong Min (wushu).
Manakala 18 gangsa diperoleh menerusi Muhamad Sharul Aimy Kamaru Hisam (gimnastik), Mohamad Firdaus Sahrom (keirin dan pecut basikal trek), pecut berpasukan lelaki dan wanita (basikal trek), Nur Dhabitah Sabri-Pandelela Rinong dan Muhammad Syafiq Puteh-Ooi Tze Liang (terjun), Muhammad Asnawi Iqbal Adam dan Tengku Nurani Tengku Khairudeen (pelayaran), skuasy berpasukan lelaki, Shereen Samson Vallabouy dan Muhammad Azeem Fahmi (olahraga).