DUA lagi pingat sudah pasti dalam genggaman apabila pasukan skuasy wanita dan lelaki menempah tempat ke separuh akhir pada temasya Sukan Asia ke-19.
Skuad wanita melangkah bergaya setelah muncul juara kumpulan B dengan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus, apabila mengatasi India 3-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Menurunkan barisan terbaik pemain terbaik, Aifa Azman, Rachel Arnold dan S Sivasangari, pasukan negara beraksi cemerlang meskipun diberi tentangan sengit India.

S Sivasangari cemerlang mengatasi Joshana Chinappa.
Sivasangari pertama menghadiahkan mata buat pasukan negara, apabila pemain ranking ke-36 dunia itu menang 3-0 ke atas Joshana Chinappa, menerusi kemenangan 11-6, 11-2, 11-8 dalam tempoh 21 minit.
“Perlawanan tadi, saya dapat bermain dengan cemerlang namun agak bertuah pada set ketiga, apabila dapat bangkit kerana momentum saya merosot sedikit.
“Hasil kemenangan 3-0 hari ini, saya yakin kami dapat mengekalkan momentum sehingga esok (separuh akhir),” kata Sivasangari.

Aifa Azman dipaksa berkerja keras sebelum memenangi aksi menentang Tanvi Khanna dalam pertarungan lima set.
Selepas itu, Aifa yang menghuni ranking ke-23 dunia, diberi tentangan sengit pemain ke-74 dunia, Tanvi Khanna, apabila tewas set pertama 9-11, sebelum bangkit dengan semangat tinggi, menang 11-1.
Pada set ketiga, Aifa tidak dapat membendung kebangkitan Tanvi hingga tunduk 7-11 sebelum bangkit memenangi set keempat 13-11 dan 11-5 pada set penentuan.
Rachel menutup aksi dengan kemenangan 3-0, apabila menewaskan Anahat Singh, 11-7, 11-7, 14-12.
Muncul juara kumpulan, bermakna skuad wanita bakal berdepan Korea Selatan yang menghuni tangga kedua kumpulan A, selepas mereka berjaya menundukkan Jepun 2-1 pada perlawanan terakhir.
Mengulas mengenai peluang pasukan ke final, Sivasangarimemberitahu, “Saya yakin kita akan menang esok (separuh akhir).

(Dari kiri) Kombinasi mantap S Sivasangari pemain ranking ke-36 dunia, Aifa Azman (23), Rachel Arnold (32), Aira Azman (55), meletakkan skuad negara di posisi terbaik memburu pingat emas berpasukan wanita.
“Pasukan kali ini berbeza berbanding di Palembang (Sukan Asia 2018) yang dibarisi Datuk Nicol David, Low Wee Wern dan saya paling muda ketika itu.
“Kalau diikutkan ada beban sebagai pemain senior kali ini nammun saya sedar, kami berempat membentuk pasukan yang sempurna malah kami ada hubungan yang baik dan akan turut beraksi dengan 100 peratus keyakinan, ” ujarnya.
Tambahnya, peluang skuad negara untuk memburu sasaran turut dibantu situasi pasukan yang tidak dibelenggu kecederaan.