PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menganggap aksi bertemu Republik Krygyz untuk pusingan Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 adalah perlawanan yang penting sebagai langkah awal untuk layak ke peringkat seterusnya.
Dia juga menyeru penyokong Harimau Malaya untuk hadir beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menjadi pemain ke-12 kerana ianya penting untuk membakar semangat pemain selain mendatangkan gerun buat pasukan lawan.
“Setakat ini persiapan berjalan dengan baik dan ini adalah detik yang menarik buat pasukan ini dan hanya menunggu perlawanan esok dan percaya para pemain akan berikan aksi yang baik.
“Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada penyokong tetapi dua perlawanan ini sangat penting pada peringkat ini dan saya harap semua rakyat Malaysia perlu fokus dan berikan sokongan dengan hadir ke stadium kerana kami perlukan sokongan anda.
“Kehadiran penyokong di stadium sangat penting kerana kami mahu gunakan sepenuhnya kelebihan bermain di gelanggang sendiri dan memastikan pasukan lawan gerun hadir ke sini,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Pan-gon juga mempunyai impian mahu membawa Harimau Malaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia sekaligus menjadi 18 pasukan terbaik Asia yang mempunyai peluang untuk layak ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
“Sebagai pemain dan jurulatih sudah tentu kami bermotivasi untuk bermain dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia kerana ianya hanya berlaku empat tahun sekali dan ini adalah peluang terbaik untuk kita ke peringkat seterusnya dan menjadi 18 pasukan terbaik di Asia kerana sebelum ini Malaysia sering terkandas di pusingan pertama.
“Malaysia kini di ranking 137 dunia dan impian kami untuk dapat ke pusingan ketiga dan menjadi 18 pasukan terbaik sebelum boleh mengimpikan ke peringkat yang seterusnya. Perkara ini mungkin ditertawakan negara lain tetapi ini adalah impian kita,” jelasnya.
Pan-gon juga meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 12 mata dari 18 mata maksimum untuk layak ke pusingan ketiga namun jika berjaya mendapat lebih daripada itu ianya lebih baik.
“12 mata cukup baik untuk layak ke peringkat seterusnya tetapi jika dapat lebih mungkin 13 ianya lebih baik,” katanya.
Malaysia akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 bertemu Republik Krygyz dan tiga mata penuh sangat diimpikan untuk memastikan Harimau Malaya bermula dengan langkah kanan sebelum bertemu Chinese Taipei di Taiwan pada 21 November 2023.