PERTAHANAN kebangsaan, Matt Davies gembira dengan persiapan Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan para pemain semakin rapat dan memahami karektor masing-masing di dalam padang.
Dia juga tidak mahu kekalahan pada Pestabola Merdeka bulan lalu dijadikan alasan untuk terus kecewa dan mahu bangkit dengan memberikan tiga mata penuh yang penting untuk memulakan kempen dengan langkah kanan.
“Persiapan sangat baik dan kami para pemain semakin memahami satu sama lain di dalam padang selepas sering kali berkumpul bersama sejak lima bulan lalu dan kami mahu bawa momentum baik ini dalam perlawanan esok.
“Motivasi para pemain juga sangat baik dan kami sudah pasti kesilapan yang berlaku ketika Pestabola Merdeka dan akan pastikan ianya tidak berlaku lagi serta kami tidak melihat kesilapan itu secara individu tetapi secara berpasukan kerana kami menang sama sama kalah sama sama,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Matt juga mengakui penglibatan kelab Malaysia dalam kejohanan kelab Asia banyak membantu skuad kebangsaan terutama dari sudut intensiti permainan tetapi semua pemain juga sudah boleh mengikuti kehendak jurulatih yang mahukan aksi berintensiti tinggi.
“Intensiti perlawanan antarabangsa pastinya sama buat pemain yang beraksi di peringkat Asia. Bukan hanya kami pemain JDT yang bermain di ACL tetapi juga pemain Sabah dan Terengganu yang beraksi di Piala AFC.
“Ianya membantu kami mengekalkan momentum tetapi semua pemain yang menyarung jersi kebangsaan akan berasa bangga dan bersedia mempamerkan aksi yang berintensiti tinggi,” jelasnya.
Pemain warisan Malaysia-Australia itu juga gembira dengan pencapaian skuad kebangsaan ketika ini dan dia berazam mahu membantu Malaysia mendapat tiga mata penuh ketika bertemu Republik Krygyz di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.