PEMINAT bola sepak tanah air bakal disajikan dengan aksi penuh nostalgia apabila perlawanan pameran AllStar Legends dijadual berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Oktober depan.
Acara anjuran AllStar Sports Sdn Bhd itu bakal menemukan AllStar Premier Legends yang dibarisi legenda Liga Perdana Inggeris menentang AllStar World Legends yang menghimpunkan bekas bintang antarabangsa dari pelbagai kelab ternama dunia.
Perlawanan tersebut dijangka menjadi antara acara bola sepak terbesar di Malaysia tahun ini dengan kehadiran beberapa nama besar yang pernah mencipta kegemilangan di pentas dunia.
Antara legenda yang sudah diumumkan menyertai perlawanan itu ialah Steven Gerrard, Jaap Stam, Eidur Gudjohnsen dan Ian Harte bagi skuad AllStar Premier Legends.
Sementara itu, AllStar World Legends pula bakal diperkuat beberapa bekas pemain terkenal dunia seperti Dida, Javier Saviola dan Maicon.

Pengarah Projek AllStar Sports, Steven Paul Windsor
Sidang media pelancaran acara itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Bimol yang menyatakan sokongan terhadap penganjuran perlawanan berkenaan.
Pengarah Projek AllStar Sports, Steven Paul Windsor berkata acara tersebut bukan sekadar menghimpunkan legenda bola sepak, malah menjadi platform menyatukan peminat bola sepak di Malaysia.
Menurutnya, bola sepak mempunyai kuasa besar dalam menyatukan masyarakat selain membawa semangat perpaduan menerusi sukan.
Beliau turut yakin pertembungan antara dua pasukan legenda itu mampu menghadirkan aksi berkualiti tinggi dan pengalaman istimewa buat para penyokong yang hadir ke stadium.
Penganjur memaklumkan barisan penuh pemain serta maklumat penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat menjelang hari perlawanan.