PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 atas sumbangan besar baginda dalam pembangunan sukan tanah air.
Pengiktirafan tersebut diberikan susulan kejayaan baginda mentransformasikan landskap sukan Johor menerusi pendekatan moden, profesional dan bertaraf antarabangsa sehingga negeri itu muncul antara kuasa sukan paling berpengaruh di Malaysia.
Di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Ismail, Johor Darul Ta’zim berkembang menjadi jenama sukan paling berjaya di negara ini dengan dominasi berterusan dalam saingan domestik serta pencapaian membanggakan di peringkat Asia.
Kejayaan menjulang Piala AFC 2015 turut meletakkan JDT sebagai kelab Malaysia pertama memenangi trofi berprestij Asia sekali gus mengangkat nama Johor di pentas antarabangsa.
Selain kejayaan di atas padang, baginda turut memainkan peranan besar dalam membentuk pengurusan profesional JDT menerusi pembangunan infrastruktur moden, penggunaan teknologi sukan dan sistem pemasaran strategik.
Penubuhan akademi bola sepak moden serta pembangunan fasiliti bertaraf antarabangsa di Johor turut menjadi asas penting dalam usaha melahirkan bakat muda secara sistematik dan kompetitif.

Antara projek utama yang menjadi simbol pembangunan sukan Johor ialah pembinaan Stadium Sultan Ibrahim selain pengilhaman pusat belia TMIYC dan Khabib Gym.
Tumpuan baginda juga tidak hanya terarah kepada bola sepak apabila turut memberi perhatian terhadap pembangunan sukan lain termasuk ragbi, badminton dan permotoran.
Ia dapat dilihat menerusi pelantikan beberapa ikon sukan terkenal seperti Lee Chong Wei sebagai duta badminton Johor selain penglibatan legenda ragbi Sonny Bill Williams dan bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov.
Dalam arena permotoran, penubuhan JDT Racing Team bersama pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah turut mencerminkan usaha memperluaskan pengaruh Johor dalam sukan berprestij.
Naib Presiden SAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2025, Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata pendekatan holistik dan visi jauh Tunku Mahkota Ismail berjaya meningkatkan standard pengurusan sukan di Johor.
Katanya, anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan impak besar baginda dalam memperkasakan pembangunan sukan serta mengangkat imej Johor di peringkat antarabangsa.
Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 dijadual berlangsung di ibu negara pada 13 Mei ini dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.