PEMBANGUNAN bola sepak peringkat akar umbi di Selangor menerima rangsangan besar apabila SK Bukit Kuchai muncul sebagai sekolah yang menerima sumbangan kelengkapan penuh bola sepak daripada ShekhinahPR usaha yang bukan sekadar memberi peralatan, tetapi membuka harapan baharu kepada sebuah pasukan yang baru ditubuhkan awal bulan ini.
Dalam majlis penyerahan yang berlangsung hari ini, pengasas dan CEO ShekhinahPR, Dato’ Christopher Raj menyampaikan 20 biji bola, kon latihan, marker, tiang gol, set jersi lengkap serta pelbagai kelengkapan lain untuk kegunaan pasukan sekolah. ShekhinahPR turut menyerahkan dana RM2,000 kepada PIBG SK Bukit Kuchai sebagai sokongan tambahan bagi memperkukuh perjalanan skuad tersebut.
Christopher menegaskan bahawa inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen CSR syarikatnya yang sejak sekian lama menjadi antara penggerak terpenting dalam pembangunan sukan akar umbi di Malaysia.

“ShekhinahPR percaya pembangunan akar umbi adalah asas masa depan sukan negara. Kami mahu memastikan lebih ramai bakat muda diberi peluang dilatih dengan kemudahan yang baik. Mungkin suatu hari nanti, pemain dari sekolah ini akan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
ShekhinahPR, antara agensi komunikasi sukan terkemuka di Asia Tenggara, sudah menyalurkan bantuan ke hampir 24 sekolah di seluruh negara dalam pelbagai sukan termasuk bola sepak dan hoki. Langkah itu dianggap antara program CSR paling konsisten menyokong pembangunan atlet muda.
Bagi SK Bukit Kuchai, sumbangan ini hadir pada masa yang tepat. Pasukan bola sepak mereka baru saja ditubuhkan menandakan permulaan bab baharu selepas sekian lama tidak pernah menyertai kejohanan peringkat daerah. Dengan penyertaan pertama ke MSSD Petaling tahun depan, 25 pemain berusia 8 hingga 11 tahun kini menjalani latihan intensif sebagai skuad perintis sekolah.

Christopher, yang pernah dilantik ke Lembaga Penasihat World Football Summit (WFS), turut menegaskan bahawa komitmen ShekhinahPR tidak terhenti di sini. Beliau menyatakan mereka akan terus memperluas program CSR sukan ke sekolah-sekolah lain demi memastikan lebih ramai bakat muda mendapat ruang untuk berkembang, berlatih dan bersaing.
Dengan sokongan ini, SK Bukit Kuchai kini bukan sekadar membina pasukan, tetapi membina harapan baharu dalam usaha melahirkan generasi pemain masa depan yang lahir daripada akar umbi.