JUARA dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak memandang mudah pertemuan sesama sendiri menentang Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin di pusingan kedua, Khamis ini biarpun memiliki kelebihan dari segi ranking dunia.

Malah, mereka bertekad memberikan persembahan terbaik, kerana menganggap setiap mata amat penting untuk memastikan momentum perlawanan mengikut perancangan yang sudah ditetapkan.

“Ini satu perkembangan positif walaupun akan bertemu rakan sepasukan, kami masih boleh mara ke suku akhir namun sebagai pemain, kami bertekad akan meraih kemenangan.”

Tang Jie-Ee Wei mempamerkan corak permainan yang baik selepas menewaskan pasangan Indonesia Jafar Hidayatullah–Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu 21-17, 21-12, berbanding pertemuan terakhir di Jelajah Dunia Akhir (disember lalu) yang berlangsung dalam pertarungan rubber game.

Sementara itu, Pang Ron–Su Yin turut cemerlang apabila mengurangkan defisit rekod pertemuan ketika menewaskan gandingan Denmark Mathias Christiansen–Alexandra Bøje 20-22, 21-18, 21-17, dalam masa 41 minit.

Untuk rekod, pada dua pertemuan lalu, Pang Ron-Su Yin tewas mudah kepada lawan masing-masing pada 2024 dan 2025.