PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva melakar sejarah baharu dalam saingan Liga Super apabila sah bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman selepas meledak tiga gol ketika Harimau Selatan membelasah Sabah FC 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Bergson sebelum ini berkongsi kedudukan teratas bersama legenda Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin dengan 106 gol, namun penantian untuk memintas rekod itu berakhir malam tadi.
Bekas penyerang Fortaleza itu terlebih dahulu menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua selepas beliau dijatuhkan M. Rakesh dalam kotak penalti untuk mencatat gol ke-107 peribadi.
Pada minit terakhir perlawanan, Bergson terus mengukuhkan statusnya selaku penjaring ulung dengan sepakan placing menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat bagi menjadikan jumlah koleksi kepada 109 gol.
Lebih menarik, rekod bersejarah itu dicipta Bergson dalam tempoh kurang daripada lima musim, sekali gus menobatkannya sebagai mesin gol paling prolifik dalam sejarah Liga Super.
Kejayaan peribadi itu dijangka menjadi pembakar semangat buat pemain berusia 33 tahun itu untuk mempertahankan anugerah Kasut Emas yang dimenanginya musim lalu.
Dalam pesta jaringan Harimau Selatan itu, selain Bergson, Joao Figueiredo, Raul Parra dan Oscar Arribas turut mencetak nama selaku penjaring bagi melengkapkan malam gemilang di kubu keramat SSI.