PENYERANG Selangor FC, Faisal Halim yang dikenakan hukuman gantung selama sebulan selepas didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akibat melanggar statut menyerahkan nasibnya kepada Tuhan.
Dia telah digantung selama satu bulan berkuatkuasa serta merta selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.
Susulan daripada itu, Faisal menerusi hantaran di laman sosial peribadinya, Faisal memuat naik status yang bertulis “Allah tidak pernah tidur” sekaligus menggambarkan perasaan dan penerimaannya terhadap keputusan ini.
Faisal atau lebih mesra disapa Mickey telah dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM atas dua kesalahan iaitu melakukan kenyataan kepada media dan kes membabitkan pengadil ketika aksi Piala FA bertemu JDT.
Dia didapati bersalah atas kes pertama dan sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023. Bagaimanapun dia hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.
Untuk kes kedua membabitkan pengadil perlawanan ketika aksi Piala FA 2023 menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun 2023, Faisal hanya diberikan amaran keras.