KETUA Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil menegaskan dia tidak akan mengubah falsafah bola sepak yang diterapkan dalam pasukan.

Menurut pengendali berusia 43 tahun itu, dia hanya akan lakukan perubahan dari segi sikap dan mentaliti seseorang pemain supaya kelab mampu melangkah ke hadapan.

“Saya tak bermaksudkan perubahan yang saya nak lakukan ialah dari segi taktikal, cara kita bermain bola sepak atau sebagainya kerana saya percaya bola sepak itu selagi dimainkan oleh manusia, memang akan ada sedikit kesilapan.

“Saya lebih suka berbual pasal karakter manusia sebab saya suka bercerita tentang pemain kerana saya fikir keputusan yang kita peroleh datang daripada manusia seperti jurulatih-jurulatih dalam pasukan, yang berada di dalam pihak pengurusan dan juga para pemain.

“Jika semua pegawai pasukan besar ini berfikir dengan mentaliti yang sama, berfikir arah yang sama untuk dapatkan keputusan, saya pasti kita akan bertambah baik cara kita bermain terutamanya dari segi sikap dan mentaliti,” ujarnya kepada media pada sesi latihan pasukan di Padang Latihan SUK, Shah Alam.

Ditanya mengenai siapa jurulatih paling berpengaruh sepanjang  menjadi jurulatih dalam kariernya, Nidzam terus tersenyum.

“Saya beruntung dapat bekerja dengan tiga jurulatih yang sangat bagus. Saya terhutang budi pada mendiang Coach B. Sathianathan, pada Michael (Feichtenbeiner), saya juga terhutang budi pada Karsten Neitzel kerana saya banyak habiskan masa dengannya semasa beliau kat sini.

Karsten Neitzel

“Saya juga selalu berhubung dengan Coach Tan (Cheng Hoe) sebelum ini ketika bekerja dan semua ada kelebihan masing-masing dan saya akan ambil semua benda tu dan akan jadikannnya sebagai satu pegangan.

“Tetapi jika kita tanamkan semua benda ni dalam padang tapi tiada keberanian dan semangat nak menang tak cukup, taktikal tak membawa apa-apa makna tapi yang paling penting bagaimana pemain kami nak melalui musim yang sukar ini dengat semangat yang baik,” tambahnya lagi.