SENEGAL yang memulakan kempen Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dengan langkah kiri apabila tewas kepada Belanda berjaya bangkit dengan dua kemenangan dalam Kumpulan A sekaligus layak ke peringkat 16 terbaik.

Kejayaan Senegal ini pula menghampakan Ecuador yang bermula baik dalam dua perlawanan awal dengan mengutip empat mata namun kekalahan pertama ini terus menyingkirkan mereka dari kejohanan terbesar dunia ini.

Ecuador yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke pusingan seterusnya gagal menyekat kebangkitan juara Afrika, Senegal apabila tumpas 1-2 dan terpaksa akur untuk hanya berada di tempat ketiga kumpulan dengan empat mata.

 

Dua jaringan pada setiap babak menerusi penalti Ismaila Sarr dan ketua pasukan, Kalidou Koulibaly cukup memberikan tiga mata dan kelayakan yang menggembirakan puluhan ribu penyokong di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Senegal di depan pada babak akhir babak pertama apabila Sarr berjaya menyempurnakan penalti sebelum Moises Caicedo menyamakan kedudukan yang hanya bertahan dua minit sebelum Senegal kembali di depan hasil jaringan tonggak Chelsea, Koulibaly.

Ismaila Sarr tenang menyempurnakan penalti

Senegal menamatkan saingan di tangga kedua dibelakang pendahulu, Belanda yang juga berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah, Qatar dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung serentak di Stadium Al-Bayt.

The Lions of Teranga kini akan menunggu juara Kumpulan B sama ada England, Iran atau Amerika Syarikat yang bakal berlangsung pada pagi Rabu sebagai lawan mereka di peringkat 16 terbaik nanti.