PRESTASI kurang memberangsangkan Belgium dalam dua perlawanan pertama di Piala Dunia 2022 kali ini, membingungkan pengendali, Roberto Martinez.

Apa lagi ketika pasukan bimibingannya tewas 2-0 kepada Maghribi malam tadi, yang disifatkan beliau akibat daripada pasukan takut untuk kalah sehingga gagal menyerlahkan kualiti dalam serangan.

Belgium yang menang tipis 1-0 ke atas Kanada pada aksi pembukaan Kumpulan F, bermain di bawah tahap prestasi sebenar sekali lagi apabila mereka tewas kepada Maghribi yang bersemangat dan mendapat sokongan padu majoriti 43,000 penonton di Stadium Al Thumama, satu keputusan yang menjejaskan kemaraan mereka ke peringkat berikutnya.

Satu lagi kejutan di Piala Dunia 2022, giliran Maghribi ayamkan Belgium

Aksi perancang utama Kevin De Bruyne, buruk dan kapten Eden Hazard pula tidak efektif. Kedua-dua pemain itu biasanya menjadi sandaran pasukan tetapi Martinez enggan untuk menyalahkan individu.

“Anda belum saksikan Belgium yang sebenar pada Piala Dunia ini.

“Hari ini saya fikir kami bermain dengan kebimbangan untuk kalah. Tanpa bola kami masih bagus tetapi apabila kami mendapat bola, kami tidak menyerlah, kami bukan diri kami yang sebenar. Kami perlu berusaha memperbaikinya.

“Kami perlu kekal bersatu dan lebih kuat. Saya amat memahami kelompok pemain ini, kami akan bersedia untuk Croatia (Khamis).”

“Kami tidak menggunakan peluang dicipta pada babak pertama dan gol pertama Maghribi itu menentukan hala tuju perlawanan hingga ke akhirnya.

Apalah nasib Roberto Martinez… Belgium pamer aksi tidak memberangsangkan.

“Kami bertahan dengan situasi standard dengan cara yang sama selama enam tahun (sejak beliau mengambil alih pasukan). Jika bola ditendang dengan bagus, ia bola yang sukar buat penjaga gol.

“Selepas gol itu, perlawanan bertukar rentak secara drastik dan kami tidak cukup berhati-hati ketika mengawal bola untuk mengatasi Maghribi,” kata Martinez.

Pertahanan berpengalaman Jan Vertonghen menganggap pasukan itu tidak menyengat ketika menyerang sekalipun dia turut mengecam pandangan dalam media skuad ‘Generasi Emas’ itu sudah melepasi zaman kegemilangan mereka.

“Terlalu banyak perkara berlegar-legar dalam fikiran saya ketika ini, perkara yang saya tidak patut luahkan. Saya tidak fikir kami mencipta peluang. Di mana silapnya? Mungkin kami menyerang dengan teruk kerana kami terlalu tua, mungkin itu sebabnya, betul?” katanya, secara menyindir.

“Kami mempunyai banyak kualiti di bahagian serangan begitu juga Maghribi dan mereka lebih bagus hari ini. Ini amat menyedihkan.”