MELAKA United FC gagal mempertahankan dua gol awal selepas Sri Pahang FC  bangkit menyamakan kedudukan dalam tiga minit akhir perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat.

Skuad kendalian Asri Ninggal gagal mengekalkan fokus pada lima minit terakhir perlawanan dengan membenarkan Sri Pahang menyamakan kedudukan untuk mencatat keputusan seri 2-2 sekaligus menghampakan 3,180 penyokong tuan rumah.

Gol-gol Melaka United disumbangkan oleh Ifedayo Olusegun dan Adriano pada setiap babak sebelum Sri Pahang menjaringkan gol menerusi David Rowley dan Shahrul Nizam Nadzir untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Sri Pahang dalam liga sejak Datuk Dollah Salleh mengambil alih pasukan.

 

Gol ketujuh buat Ifedayo dan kedua buat Adriano musim ini hampir memberikan tiga mata penuh buat Melaka United dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka yang baharu, Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad.

Skuad Hang Tuah memberikan tekanan kepada pasukan Tok Gajah dengan mengasak kubu mereka dari awal permainan tetapi kelekaan barisan pemain memberikan Sri Pahang mata berharga di tempat lawan.

Meskipun kelibat penyerang Sri Pahang yang sedang dalam prestasi terbaik, Steven Rodriguez dikunci dengan baik oleh barisan pertahanan Melaka United namun pertukaran yang dilakukan oleh Dollah Salleh nyata membuahkan hasil.

 

David Rowley menjaringkan gol pertama tiga minit sebelum tamat dan Shahrul Nizam Nadzir melengkapkan kebangkitan Sri Pahang pada minit terakhir perlawanan untuk menyekat kemenangan Melaka United.

Dengan keputusan ini, Sri Pahang kekal di tangga kelima dan bakal berhadapan pasukan tercorot liga, Penang FC pada Khamis manakala Melaka United berehat panjang selama tiga minggu.