PENCAPAIAN dua pasangan badminton kebangsaan masing-masing muncul juara dan naib juara dunia menjadi bukti, Malaysia masih kekal antara kuasa dunia.
Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abd Aziz, ianya bukan sekadar sejarah malah satu kenyataan jelas yang mahu dibuktikan pemain badminton itu sendiri, bahawa mereka juga layak mendapat kemasyhuran sebagaimana pemain negara lain.
“Impian kita akhirnya jadi kenyataan. #ChenToh bukan sekadar menang, tapi mereka ukir sejarah dengan keringat dan air mata. Mereka telah buktikan, Malaysia tak pernah putus asa,” kata Zafrul, menerusi perkongsian di aplikasi sosial, Instagram miliknya.
Malaysia meraih kejuaraan dunia menerusi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menerusi kemenangan 21-15, 21-14 ke atas pemain China yang bakal menaiki takhta nombor 1 dunia esok (Selasa) Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, sekali gus muncul pasangan campuran pertama negara mengungguli Kejohanan Dunia.
“Badminton Malaysia kembali mengaum di pentas dunia! Kemenangan ini adalah hadiah terindah, paling bermakna untuk seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan.
“Terima kasih, Tang Jie dan Ee Wei. Terima kasih kerana memberi kami harapan. Terima kasih kerana mengembalikan keyakinan. Kalian adalah inspirasi kami.”
Malaysia hampir meraih dua kejuaraan semalam, namun sayangnya, Pearly Tan-M Thinaah yang turun ke gelanggang selepas itu tewas 14-21, 22-20, 17-21 kepada satu lagi pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.