TERENGGANU FC (TFC) sah menjadi wakil negara ke Kejuaraan Kelab Asean atau Piala Shopee yang dijangka bermula September ini sehingga Mei tahun depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd. Syahrizan Mohd. Zain, berkata, perkembangan baharu itu dimaklumkan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menerusi sepucuk surat yang diterima minggu lalu.

Menurut beliau, proses undian bagi peringkat kumpulan kejohanan berkenaan akan diadakan 8 Mei ini di Ho Chi Minh, Vietnam bagi menentukan lawan skuad Penyu.

“Selepas bersetuju untuk mengambil bahagian dalam kejohanan itu, TFC telah menerima maklum balas AFF pada Rabu lalu mengenai status terkini Piala Shopee.

“Saya boleh mengesahkan TFC akan beraksi dalam kejohanan itu dan dijemput oleh AFF ke Vietnam bulan depan untuk sesi undian peringkat kumpulan.

“Diharapkan undian itu nanti memihak kami tetapi siapa pun lawan yang akan ditemui, TFC mahu melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Kejuaraan Kelab Asean merupakan edisi pertama dengan disertai 12 pasukan terbaik rantau ini dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Laos dan Kemboja.

Kejohanan itu berformatkan enam pasukan dalam satu kumpulan dengan dua kelab teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang diadakan secara timbal balik.

TFC menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sabri Abas sebelum ini meletakkan sasaran mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.