Kredit Gambar: Media Selangor
Lebih enam atlet dilaporkan mengalami dehidrasi dan strok haba ketika bertanding pada hari kedua acara olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.
Insiden berlaku ketika acara 3,000 meter lari berhalangan lelaki dan wanita yang berlangsung pada jam 4 petang dalam keadaan cuaca panas dengan suhu dilaporkan melebihi 33 darjah Celsius.
Beberapa atlet dilihat berada dalam keadaan tidak bermaya selepas menamatkan perlumbaan, menyebabkan kawasan pondok perubatan menjadi tumpuan apabila petugas perubatan segera memberikan rawatan.
Antara atlet yang terjejas ialah wakil Selangor, Siti Nur Fatihah Mohamad Adham, yang dilaporkan rebah ketika hanya kira-kira 30 meter daripada garisan penamat selepas gagal melepasi halangan terakhir.
https://www.instagram.com/reel/DcJIOCcPgZ3/?igsh=ZWRiZm95ZTI2cWhv
Keadaan itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai kontinjen dan penyokong yang berada di stadium, terutama berkaitan faktor cuaca serta kesesuaian waktu pertandingan bagi acara larian jarak jauh.
Dalam pada itu, tindakan pantas pasukan perubatan di Stadium UPM membantu memastikan atlet yang terjejas menerima rawatan segera.
Ambulans turut disediakan di lokasi dan bersiap sedia untuk membawa mana-mana atlet ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sekiranya memerlukan pemeriksaan atau rawatan lanjut.
Insiden berkenaan diharap menjadi perhatian pihak berkaitan bagi menilai aspek keselamatan serta kesesuaian jadual pertandingan, khususnya bagi acara jarak jauh yang memerlukan tahap ketahanan fizikal tinggi ketika berlangsung dalam keadaan cuaca panas.