Sabah FA Wanita memulakan kempen kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/27 dengan penuh bergaya apabila membelasah Rovers FC 13-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Likas, malam tadi.
Keputusan besar itu menyaksikan skuad kendalian Bobby Gonzales mengutip tiga mata penting selepas terlebih dahulu melihat East Bengal menewaskan Rajshahi Stars FC 4-0 dalam satu lagi perlawanan kumpulan.
Sabah membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi pemain tengah dari Jepun, Ayuri Terawaki sebelum Mai-Lisa Atis menggandakan kelebihan 13 minit kemudian.
Atis sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-34 menerusi percubaan susulan, sebelum Enzi Broussard turut menemui sasaran bagi membantu Sabah membawa kelebihan besar ke bilik persalinan.
Sabah kemudian terus meningkatkan tekanan selepas rehat dan tidak memberi ruang kepada wakil Guam itu untuk mengubah rentak permainan.
Broussard menjadi antara watak utama pesta gol Sabah apabila meledak dua jaringan pada minit ke-51 dan ke-58 sebelum melengkapkan hatrik empat minit kemudian.
Atis dan Terawaki masing-masing menambah satu gol pada minit ke-66 dan ke-70, manakala Broussard melengkapkan malam cemerlangnya dengan jaringan kelima pada minit ke-80.
An Se-bin kemudian turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-83 sebelum Terawaki melengkapkan kemenangan besar Sabah dengan gol pada penghujung permainan.
Keputusan 13-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memberikan Sabah permulaan terbaik dalam usaha memburu tiket ke pusingan seterusnya kelayakan AWCL.
Sabah kini akan mengalihkan fokus kepada aksi kedua Kumpulan A apabila dijadual berdepan Rajshahi Stars pada 20 Ogos.