LEE Zii Jia tiada masalah membenam cabaran pilihan kelima Kejohanan Dunia, Jonatan Christie dari Indonesia untuk membuka laluan ke pusingan kedua.

Di sebalik kontroversi ciptaannya sebelum bertolak ke Copenhagen, Denmark, pemain berusia 25 tahun itu mempamerkan aksi bertenaga menentang Jonatan yang lebih popular dengan panggilan Jojo, apabila menang 21-13, 21-15 dalam masa 39 minit.

Kemenangan itu membolehkan Zii Jia yang berada di ranking ke-13 dunia menyamakan rekod pertemuan kepada 4-4.

Tiga kemenangan daripada pertemuan kali terakhir memberi keyakinan kepada Lee Zii Jia mudah menundukkan Jonatan Christie dari Indonesia, di pusingan pertama Kejohanan Dunia.

 

Begitupun, kemenangan diraih Zii Jia ke atas Jonatan bagai boleh dijangka biarpun perseorangan lelaki negara itu kurang menyerlah di pentas antarabangsa, sepanjang tahun ini.

“Inilah yang saya perlukan dan dalam kepala saya hanya menetapkan bahawa, seberapa banyak mata Jonatan di depan, saya tetap akan terus mengejar dan mengejar, ia membantu menaikkan keyakinan saya,” kata Zii Jia.

Ini berikutan rekod empat kemenangan Jonatan ke atas Zii Jia, hanyapada empat pertemuan awal antara kedua-dua pemain iaitu pada Malaysia Masters 2018, Piala Thomas 2018, Terbuka Switzerland dan Singapura 2019.

Lee Zii Jia akan akan berdepan pemain Kanada, Bryan Yang di pusingan kedua, pada Rabu.

 

Manakala Zii Jia pula mengatasi pemain Indonesia itu pada Seluruh England 2020, Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Denmark 2022.

Kemenangan Zii Jia itu membolehkannya melangkah ke pusingan kedua dan bakal berdepan Bryan Yang dari Kanada, yang lebih dahulu mengesahkan tempatnya apabila pemain Jerman, Kai Schaefer menarik diri akibat kecederaan, ketika pemain Kanada itu mendahului 11-3 di set pertama.

Sementara itu, Goh Jin Wei turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi pemain Hungary, Vivien Sandorhazi 21-18, 21-15.

Goh Jin Wei tiada masalah atasi pemain Hungary, Vivien Sandorhazi di pusingan pertama Kejohanan Dunia 2023.

 

Dia akan membuat perhitungan dengan pilihan utama kejohanan dari Korea Selatan, An Se Young yang menantinya di pusingan kedua, selepas mendapat bye.

Seorang lagi perseorangan wanita bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), S Kisona, terkandas di pusingan pertama apabila tewas dalam pertarungan rubber game di tangan pemain Taiwan, Pai Yu Po, 22-20, 19-21, 13-21.