JURULATIH pasukan bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun (B-14), Saiful Hadee Amar yang menampar dua pemainnya dibatalkan Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1 (Sukan Spesifik).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpendirian senada selepas Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) membatalkan lesen jurulatih itu melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya.

Tambahnya lagi sebagai langkah awal, jurulatih sukan tersebut yang juga merupakan seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk menjadi jurulatih untuk murid sekolah.

“Jurulatih itu telah ditarik balik Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1 (Sukan Spesifik) oleh Mava bahkan belum pernah membuat permohonan lesen kejurulatihan Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) sebagi pengiktirafan Skim Persinilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK).

”Keputusan ini dipersetujui bersama antara Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) Institut Sukan Negara dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan.

“KBS dan KPM menegaskan tidak akan sesekali berkompromi khususnya dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet-atlet khususnya yang melibatkan mereka di peringkat umur muda yang mana sudah tentu mampu memudaratkan pembangunan bakat masa depan negara.

“Apatah lagi insiden yang melibatkan murid- murid sekolah,” katanya pada sidang media yang turut dhadiri Menteri Pendidikan,  Fadhlina Sidek di Putrajaya, Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Lempang Pemain B-14: Jurulatih bola tampar pasukan Melaka digantung, Mava siasat serta-merta!

Awal tahun ini, Saiful Hadee Amar telah menampar dua pemainnya dalam satu kejohanan yang rakamannya tular di media sosial sebelum memohon maaf secara terbuka kepada pelajar dan keluarga mereka selepas kejadian.

Saiful, 44 yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah Alor Gajah mengakui kesal dengan tindakan yang diambil dan terbuka menerima apa jua bentuk tindakan daripada mana-mana pihak berhubung perbuatannya.


“Saya memohon maaf kepada semua pemain yang terlibat terutama sekali kedua-dua pemain yang terlibat ibu bapa kepada kelab saya sendiri Kelab Mastanah,Pasukan Bola Tampar Malaysia, Pasukan Bola Tampar Melaka dan juga keseluruh komuniti bola tampar yang berada di Malaysia.

“Saya sedia dan saya reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan ke atas saya. Saya harap perkara ini akan menjadi pengajaran kepada diri saya sendiri,” katanya.