PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berazam untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam siri kejohanan di Eropah bagi mengekalkan kedudukannya dan memastikan kelayakan ke Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia 2024, pada Disember ini.
Dalam satu majlis penghargaan yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), dia berkongsi mengenai perancangan dan cabaran yang dihadapinya sebagai pemain profesional yang berdikari, tanpa naungan BAM.
“Saya sudah belanja RM100,000 hasil daripada tiga kejohanan sebelum ini. Sebagai pemain profesional yang tidak di bawah BAM, saya perlu membiayai sendiri kos penyertaan.
“Namun begitu, saya gembira dengan sokongan yang diterima, terutama daripada 100Plus yang telah bersama saya sejak saya berusia 19 tahun. Walaupun saya kini tidak lagi bersama BAM, mereka tetap menyokong saya, dan saya amat menghargainya,” katanya.

Lee Zii Jia (tengah) gembira dengan sokongan yang diterima, terutama daripada 100Plus yang telah bersamanya sejak berusia 19 tahun.
Berhubung kecederaan yang dialaminya di China Open baru-baru ini, Zii Jia mengakui bahawa ia hanyalah kecederaan kecil, namun dia perlu terus memantau dan menjaga tahap kecergasannya.
“Kecederaan itu tidak serius, hanya kecederaan kecil di siku, belakang badan, dan lutut. Saya akan terus berlatih dan bersaing selagi kondisi saya okey. Matlamat saya sekarang adalah untuk layak ke World Tour Final, jadi saya akan terus bertanding di semua kejohanan yang ada,” jelasnya.

Zii Jia meraih kejuaraan Terbuka Arctic, Finland tahun lalu. Foto FB BAM
Zii Jia turut menyasarkan untuk mengulangi kejayaan cemerlangnya di Finland dan Denmark tahun lalu, dengan harapan untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.
“Saya mahu mengulangi apa yang saya lakukan tahun lepas di Finland dan Denmark, bukan sahaja untuk pencapaian tetapi juga bagi mengumpul mata ranking. Jadi, saya perlu mengekalkan prestasi yang baik,” katanya lagi.
Kejohanan seterusnya yang akan disertai Zii Jia ialah Terbuka Artik 2024 yang akan berlangsung di Vantaa, Finland dari lapan hingga 13 Oktober.
Hanya lapan pemain terbaik dalam semua kategori (perseorangan dan beregu) akan layak ke Jelajah Dunia Akhir 2024, dengan setiap negara dibenarkan menghantar maksimum dua wakil.