SELEPAS mengangkat beban ratusan kilogram di pentas dunia power lifting, wira para negara Bonnie Bunyau Gustin kini mengangkat sesuatu yang lebih bererti – “power of love”.
Atlet para berusia 26 tahun itu sah bergelar suami selepas disatukan dengan wanita pilihannya, Clarissa Jude, dalam majlis perkahwinan sivil di Pejabat JPN Bahagian Serian, Selasa lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut berkongsi rasa gembira dan mengucapkan tahniah kepada Bonnie dan isteri.
Perkhabaran itu disambut hangat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang turut menitipkan doa agar rumah tangga juara dunia itu kekal bahagia dan diberkati.
“Terima kasih kerana berkongsi gambar kegemaran anda dengan saya, Bonnie. Semoga perkahwinan anda diberkati dan penuh kebahagiaan,” tulis Hannah di laman Facebooknya.

Bonnie melafaz ikrar perkahwinan.
Bonnie yang terkenal dengan sifat rendah diri memuat naik tiga keping gambar perkahwinan di Instagram, menampilkan dirinya dan isteri tercinta dalam busana putih sederhana yang cukup menyentuh hati.
“Tuhan bukan sahaja memberi saya seseorang untuk dikasihi tetapi seseorang untuk saya membesar bersama, berdoa bersama dan berjalan seiring,” tulis juara dunia empat kali berturut-turut itu dengan penuh makna.