NASIB pasukan Kelantan FC masih menjadi tanda tanya memandangkan sehingga kini masih belum menyelesaikan pendaftaran pemain mereka dalam Liga A1 Semi Pro 2024.

Pihak Liga Bola Sepak Sepak Amatur (AFL) memberi peluang terakhir sehingga Selasa ini buat The Red Warriors mempertahankan posisi dalam kancah bola sepak Liga A1 musim ini, setelah diketepikan daripada saingan Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menegaskan bahawa pihaknya telah menetapkan tarikh 14 Mei, sebagai tempoh pendaftaran terakhir pemain Kelantan FC.

Terdahulu, Kelantan FC sudah diberikan tempoh sehingga 8 Mei untuk mengemaskini pendaftaran pemain, namun ianya gagal kerana mereka tidak mempunyai bilangan pemain yang cukup.

Majlis Pelancaran Bola Rasmi Liga A1 Semi Pro dan Majlis Menandatangani Perjanjian AFL dan Kelme.

“Kalau ikutkan, Kelantan sebelum ini diberikan tempoh untuk mendaftarkan 20 pemain sekurang-kurangnya sehingga 8 Mei, namun terdapat beberapa penjelasan daripada pihak mereka untuk meminta penangguhan.

“Dengan bukti-bukti yang ada, mereka menunjukkan sedang berusaha, jadi AFL positif dan sedia memberi tempoh lanjutan sehingga esok, 14 Mei untuk mereka lengkapkan apa yang belum lengkap.

“Mereka belum lagi sempat mendaftarkan 20 pemain dan itu merupakan salah satu kelayakan yang kita minta. Jika sebarang perkara berlaku, di mana Kelantan tidak bersedia untuk melengkapkan apa yang kita minta, sememangnya kita bersedia untuk bermain dengan 15 pasukan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM pada Isnin.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa sebanyak 16 pasukan termasuk Kelantan FC akan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro untuk musim 2024 ini.

Namun, terdapat kebarangkalian bahawa The Red Warriors digugurkan jika mereka tidak melepasi syarat atau kelayakan yang ditetapkan oleh pihak AFL.