Foto: JDT

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mencipta sejarah buat Malaysia apabila bersaing dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC buat pertama kali dengan pemenang Emperor Cup Jepun, Urawa Red Diamonds akan menjadi penghalang.

Namun JDT musim ini bukanlah JDT yang dahulu dimana mereka kelihatan agak sukar untuk menembusi bahagian akhir lawan kerana kekurangan sokongan kepada Bergson Da Silva di bahagian serangan.

Kini kehadiran Fernando Forestieri dilihat menyelesaikan masalah itu dengan gandingan dua pemain ini sangat berbahaya buat semua pertahanan dibantu pula kecemerlangan Arif Aiman dan Corbin Ong yang sesekali naik membantu serangan.

 

Permainan pantas dan tekanan cepat kepada lawan akan menjadi kunci dalam pertemuan ini. Harimau Selatan terkenal dengan corak tekanan yang cukup pantas hingga membuat pasukan lawan mati akal untuk mengatur gerak.

Ketiadaan Leandro Velasquez yang digantung satu perlawanan mungkin akan sedikit menjejaskan barisan tengah JDT namun dengan ramai lagi pemain yang berkualiti dalam skuad masalah ini pastinya dapat diatasi dengan pemain yang mempunyai kualiti yang sama seperti Leandro.

Fernando Forestieri

Jika ada satu perkara yang perlu ditekankan oleh Hector Bidoglio adalah kekuatan di bahagian pertahanan dan penjaga gol. Sudah seringkali kelalaian pertahanan dan kesilapan mudah yang dilakukan penjaga gol menghukum JDT.

Cuaca panas pada hari perlawanan juga dijangka mampu memberikan sedikit kelebihan buat juara Kumpulan I itu kerana seperti yang dilihat pada aksi sebelum ini, kelab-kelab dari Jepun agak sukar bermain dalam cuaca yang berbahang.

Apa pun keputusannya esok, JDT sudah berada pada tahap yang berbeza. Muncul kelab pertama Asia Timur untuk menjuarai Piala AFC pada 2015 dan kini sedang mengintai peluang untuk melakar kejutan di peringkat tertinggi kelab Asia.

Berada sebagai salah satu dari 16 kelab terbaik Asia juga sudah cukup buat JDT dan Malaysia juga beroleh keuntungan apabila mata MA negara bertambah dan kini lebih banyak kelab dari Liga Super boleh bersaing di Asia.