SELEPAS mengumumkan kemasukan Sony Norde sebagai pemain penyerang baharu, Terengganu FC hari ini mengesahkan pemain tengah importnya, Habib Haroon turut kekal bersama-sama skuad Peteh bagi menghadapi musim 2023.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di media sosial rasmi kelab, TFC menjelaskan Habib gembira di Kuala Terengganu dan mahu membalas kepercayaan kelab kepadanya selain khidmatnya masih diperlukan dalam perancangan jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner.

“Pemain import pasukan Terengganu FC, Habib Haroon memutuskan untuk terus kekal setia bersama pasukan Terengganu FC bagi saingan musim 2023. Habib Haroon menyatakan ini adalah cara beliau membalas kepercayaan kelab terhadap dirinya selama beliau berkhidmat bersama pasukan ini, dan semestinya ini adalah untuk membalas pengorbanan yang telah penyokong lakukan bersama beliau dan pasukan terutama pada musim ini.

“Sememangnya penyokong Terengganu adalah luar biasa. Habib juga adalah pemain utama yang ingin dikekalkan oleh pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagi membentuk skuad dibawah kendaliannya pada musim hadapan.

“Keputusan Habib mengetepikan beberapa ‘tawaran mega’ dari kelab lain di saingan Liga Super ini sememangnya jelas menunjukkan beliau seorang pemain yang setia bersama pasukan dan berazam untuk memberikan yang lebih baik untuk musim hadapan.

“Habib juga menyatakan beliau merasa sangat selesa berada di Terengganu dengan suasana di negeri ini dan tiada permasaalahan sepanjang beliau beraksi bersama kelab ini. Terima kasih Habib! Jumpa anda di musim 2023,” tulis kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN : Habib dedah ada terima beberapa tawaran kelab lain

Pemain kelahiran Bahrain berusia 22 tahun itu menyertai Terengganu pada musim 2021 dan kini sudah tampil dalam 30 aksi dan menjaringkan tiga gol adalah antara tonggak penting yang membantu TFC menduduki tempat kedua Liga Super sekaligus layak ke Piala AFC musim 2023/2024.

Ini reaksi Habib sebaik sahaja bersetuju menyambung jasa bersama finalis Piala FA itu.

“Sebaik jurulatih (Tomislav Steinbruckner) menyatakan masih mahukan khidmat saya bagi membentuk pasukan 2023, saya tidak berfikir panjang untuk terus kekal bersama TFC.

“Lagipun saya sangat selesa berada di kelab ini terutama melihat kepercayaan diberikan pengurusan dan penyokong yang sangat luar biasa. Jadi saya mahu membalasnya dengan aksi lebih baik.

“Walaupun ada beberapa tawaran menarik daripada kelab Liga M yang lain serta kelab luar negara, saya gembira di TFC,” jelasnya yang menyambung kontrak selama setahun sehingga Disember 2023.

Dia merupakan awang import tunggal dikekalkan TFC setelah Pape Diakite, Manuel Ott, Petrus Shitembi, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche digugurkan daripada pasukan.

Musim ini, Habib bergandingan mantap bersama Ott dan Shitembi di bahagian tengah sekaligus membantu TFC muncul naib juara Liga Super, Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.