DUA perlawanan Liga Premier berlangsung pada Sabtu malam melibatkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menentang PDRM FC di Pasir Gudang dan UiTM FC bertemu Kuching City FC di Shah Alam.
JDT II meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Premier selepas membelasah PDRM FC 5-1 sekaligus mendahului carta liga hasil dua gol dari Bienvenido Maranon dan masing-masing satu dari Syameer Kutty Abba, Gabriel Nistelrooy dan Fernando Rodriguez manakala gol tunggal PDRM FC dijaringkan Martin Adamec.
Pengendali JDT II, Echeveria Mariano Raul nyata gembira dengan kemenangan ini dan menganggapnya penting kerana ia membolehkan pasukannya kekal di tangga teratas liga dan bangga dengan barisan pemain muda yang diturunkan.
Sementara bagi jurulatih PDRM FC Wan Rohaimi Wan Ismail pula, kegagalan menjaringkan gol dan bertahan dengan baik adalah punca skuadnya tewas meskipun bermain baik pada babak pertama tetapi prestasi beberapa pemain yang kurang baik mengakibatkan lawan mudah menjaringkan gol.
Dalam pertemuan di Shah Alam, UiTM FC masih gagal mencari kemenangan sulung dalam liga musim ini selepas tewas kepada Kuching City FC 0-2 sekaligus menambah tekanan kepada pasukan universiti ini.
Gol Kuching City FC dijaringkan oleh Wan Faiz Wan Sulaiman pada babak pertama sebelum Amir Amri Salleh melengkapkan malam gemilang Kuching dengan gol kedua pada minit terakhir permainan.
Ketua Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti gembira dengan kemenangan ini meskipun tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan yang ditunjukkan oleh anak buahnya dan akan kembali fokus menghadapi perlawanan setiap tiga hari akibat jadual yang padat.
Pengendali UiTM FC, Ismail Ibrahim pula berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemain meskipun tewas. UiTM gagal memanfaatkan peluang yang ada dan dalam bola sepak jaringan adalah segalanya.
Dengan keputusan ini, JDT II di tangga teratas dengan 18 mata manakala PDRM kini ditangga ketujuh dengan tujuh mata. Kuching City pula semakin mengejar kelompok atasan dengan 10 mata di tangga keempat manakala UiTM di tangga kesembilan tanpa sebarang mata.
Satu perlawanan antara Terengganu FC II dan Kelantan akan berlangsung malam ini dan satu perlawanan menemukan Selangor 2 dan Kelantan United berlangsung pada Isnin sebelum Skuad Projek FAM-MSN menentang Perak FC pada Rabu.