TETAP merendah diri dan berpijak di bumi yang nyata.
Begitulah sikap Brad Maloney setelah skuad Bawah (B-23) Malaysia menang 2-1 ke atas Thailand dalam aksi sulung Kumpulan B Sukan SEA 2021 di Hanoi pada Sabtu.
Malaysia bangkit untuk mengejutkan Thailand, salah satu pasukan pilihan terkuat bagi merangkul pingat emas Sukan SEA kali ini.
Walaupun ketinggalan gol Patrik Gustavsson minit ke-33, Harimau Malaya B-23 menterbalikkan keadaan menerusi jaringan Danial Asri m-61 dan Nur Azfar Fikri Azhar di penghujung masa kecederaan.
“Terlalu jauh lagi nak bercakap mengenai tiket separuh akhir. Kami perlu kekal fokus,” kata jurulatih asal Australia itu selepas perlawanan.
Maloney yang kerap dikritik penyokong bola sepak Malaysia juga enggan meremehkan pesaing berikutnya dalam Kumpulan B.
“Masih ada baki tiga lagi permainan. Semoga kami akan mencatat keputusan baik dan mampu merebut tiket ke babak seterusnya,” ujarnya lagi.
Brad Maloney juga tak mendabik dada kemenangan ke atas Thailand adalah hasilnya sebagai jurulatih tetapi menyifatkan kejayaan dramatik dan sensasi itu adalah kerja keras seluruh pemain.
“Kami bermain impresif selama 90 minit. Tiga pemain gantian yang masuk juga memberikan impak signifikan terhadap permainan. Mereka jugalah yang menjadi penyumbang besar untuk meraih tiga mata,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya pemain negara yang cedera, terutama Azam Azmi Murad yang dikerjakan ke hospital, Maloney akui tidak terlalu bimbang mengenainya.
“Kami masih ada pilihan lain untuk menggantikannya,” katanya ringkas.
Skuad Brad Maloney ini akan meneruskan aksi kedua bertemu Laos pada Rabu diikuti melawan Singapura (14 Mei) dan melengkapkan peringkat kumpulan berdepan Kemboja, 16 Mei.