KEMPEN Liga Super kembali bersambung pada Jumaat ini dengan melibatkan dua perlawanan dan tumpuan terarah kepada pertembungan dua pasukan teratas Liga Super.

Pendahulu semasa, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berkunjung ke Likas bertemu Sabah FC yang mula mempamerkan taring apabila menang empat kali dalam lima perlawanan terakhir.

Bahkan, aura pertemuan ini cukup luar biasa selepas jualan tiket secara atas talian telah pun habis dijual dan hanya tinggal baki 3,000 yang mula dijual di kaunter pada 14 Julai ini.

Stadium Likas dijangka penuh sesak penyokong Sabah FC selepas jualan tiket habis dijual. FOTO – Sabah FC

The Rhinos yang dipimpin Datuk Ong Kim Swee sudah tentu menyiapkan pasukan terbaik dalam misi mengutip tiga mata ke atas JDT.

Berlainan pula situasi anak buah Benjamin Mora yang miliki jentera serangan menggerunkan kerana telah meledak 25 jaringan di pentas Liga Super, hanya beraksi sembilan perlawanan !

Muncul pasukan sedikit bolos (5 gol), saingan pada Jumaat dijangka sengit dan aksi konsisten ingin diteruskan pemain Harimau Selatan yang pasti menebus duka kehilangan dua mata berharga ketika kunjungan ke Stadium Hang Jebat tempoh hari.

Pemain Kenari gigih berlatih di Alor Setar sebelum menuju ke Gong Badak aksi Jumaat ini. FOTO – KDA FC

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) yang masih segar menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada peringkat pusingan kedua Piala FA sekali lagi bertemu di Gong Badak.

Jurang mata kedua-dua pasukan hanya dibezakan satu mata dengan KDA FC berada di tangga keempat manakala TFC di kedudukan lima dengan kutipan 13 mata.

Skuad Hijau Kuning dijangka turun membalas dendam dengan beberapa rombakan dijangka dilakukan Aidil Sharin Sahak.

Tetapi, kelebihan sokongan jitu Peteh Ganu Peteh akan membantu para pemain TFC menunjukkan belang dan merakam lagi kemenangan kedua berturut-turut ke atas kelab dari utara itu.