SORAKAN “Hobin Jang Hobin” bergema di Stadium Tuanku Abdul Rahman apabila Negeri Sembilan akhirnya menamatkan penantian tujuh tahun untuk menewaskan Selangor di laman sendiri dalam saingan Liga Super selepas mencatat kemenangan dramatik 2-1, malam Ahad.

Selangor terlebih dahulu mengejutkan ribuan penyokong tuan rumah pada minit ke-12 hasil tandukan Richmond Ankrah, namun skuad kendalian Nidzam Jamil tidak patah semangat, terus melancarkan serangan bertali arus.

Namun magis sebenar hadir di babak kedua apabila Mio Tsuneyasu muncul wira Negeri Sembilan dengan dua jaringan penting — rembatan kencang pada minit ke-83 sebelum gol kemenangan di masa kecederaan (90+3) yang menggegarkan stadium penuh sesak dengan lebih 25,000 penyokong.

Kemenangan ini bukan sahaja menghadiahkan tiga mata pertama buat skuad Jang, malah memadam rekod tanpa kemenangan ke atas Red Giants di gelanggang sendiri sejak 2018.