
Pemilik KDA FC dedah faktor Turki jadi pilihan pramusim

PEMILIK saham majoriti Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkongsi empat perkara utama mengapa Turki dipilih sebagai destinasinya kem pramusim skuad Sang Kenari sebagai persiapan menghadapi musim Liga Malaysia 2023.
Mohd Daud yang ditemui dilihat serius mahu membangunkan semula bola sepak Kedah dan memberikan semula keseronokan menonton bola sepak kepada rakyat negeri jelapang padi itu.
KDA menjadi kelab Malaysia pertama yang menjalani kem pramusim di Eropah dan beliau berharap semua pemain dapat belajar sesuatu daripada kem ini untuk dibawa pulang dan menjadi lebih baik.
SANG KENARI TERBANG KE EROPAH, SELAMAT TIBA DI ANTALYA, TURKIYE 12.00 TENGAHARI TADI.
Selepas melalui perjalanan jauh dan panjang, akhirnya pasukan Sang Kenari tiba di Lapangan Terbang Antalya Turki jam 12.00 tengahari dan terus bergerak ke hotel penginapan, Sherwood Hotel. pic.twitter.com/Kq4CvAoUPH
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) February 6, 2023
Dalam pada itu, beliau mendedahkan empat perkara utama yang menjadikan Turki sebagai destinasi pramusim ini.
“Kami memilih Turki kerana di sana lebih selesa untuk memilih lawan kerana mereka mempunyai ‘winter camp’ yang menempatkan lebih 300 pasukan dan ini memudahkan KDA untuk bermain dengan pelbagai pasukan di satu tempat yang sama.
“Selain itu, kedudukan Turki yang berada di tengah-tengah antara Eropah dan Asia juga akan memberikan kami gabungan skil daripada pasukan Eropah dan Asia sekaligus boleh menjadi pelajaran yang penting buat para pemain.
“Ketiga adalah tawaran daripada syarikat penerbangan yang banyak membantu mengurangkan kos kami ke sana dan saya menganggap ini adalah inisiatif yang baik kerana meskipun mereka tidak terlibat secara langsung dengan KDA namun mereka menunjukkan minat dalam membantu menaikkan imej bola sepak tempatan.
“Faktor keempat yang saya lihat adalah pemain perlukan persekitaran baharu terutama buat anak-anak Kedah yang tidak pernah keluar negara. Saya mahu mereka berasa diri mereka terpilih apabila menerima pas masuk penerbangan dan mahu mereka semua mempunyai minda global kerana ianya penting untuk mereka pasarkan diri mereka di peringkat global,” katanya.
Kedah Darul Aman akan menghadapi empat perlawanan persahabatan di Antalya, Turki menentang FC Nasaf dari Liga Uzbekistan, FC Shakhter Karagandy dan FC Maktaaral dari Kazakhstan serta bertemu Metalist Kharkiv dari Ukraine bermula 9 hingga 14 Februari 2023.
Sang Kenari yang dalam proses pembikinan semula pasukan akan memulakan kempen Liga Super 2023 menentang Perak FC di laman sendiri dan pendedahan di Eropah ini pastinya akan memberikan aksi yang lebih baik buat anak-anak buah Nafuzi Zain untuk bergelar pencabar kejuaraan Liga Super musim ini.