SABAH FC mungkin terpaksa melupakan khidmat enam tonggak utamanya selepas masih mengalami kecederaan apabila bertemu Kuching City FC untuk aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Rabu.
Jurulatih Interimnya, Alto Linus mengakui persiapan pasukan sedikit terjejas namun dia tidak gusar kerana dia akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain memikul tugasan penting ini bagi memastikan Sabah mengekalkan rentak cemerlang dalam liga.
Antara pemain yang berada dalam senarai kecederaan termasuklah Gabriel Peres, Saddil Ramdani, Miguel Cifuentes, Farhan Roslan, Kwan Ming Ko dan Darren Lok yang menyaksikan The Rhinos sedikit tempang menghadapi perlawanan ini.
“Kesemua pemain ini mengalami kecederaan selepas perlawanan menentang PT Athletic FC dalam perlawanan kedua Pusingan 16, Piala Malaysia minggu lalu. Namun ini bukan masalah besar kerana saya percaya ia akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk memikul tugasan ini. Saya percaya mereka mampu melakukannya,” katanya.
Alto juga mengakui Sabah sedikit berada dalam tekanan untuk berhadapan dengan Kuching City FC yang kini berada ditangga ke lima liga namun dia mempunyai perancangan untuk memastikan membawa pulang keputusan positif.
“Sudah semestinya setiap pasukan berada pada kedudukan terbaik liga akan mempunyai tekanan untuk mengekalkan konsistensi pada setiap perlawanan. Ini normal kerana dalam setiap pertandingan liga, apabila kita berada ditempat yang baik sudah pasti pasukan lain akan turun dengan perancangan terbaik untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
“Kita mengakui Kuching City FC adalah antara pasukan terbaik dalam Liga Super namun kita akan kekal positif dan fokus pada diri sendiri pada ketika ini, lebih-lebih lagi bermain di tempat lawan,” jelasnya.
Mengikut rekod, Sabah FC memiliki kelebihan empat kemenangan dan satu keputusan seri bertemu Kuching City FC dengan Sabah FC kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan 26 mata manakala Kuching City FC di tangga kelima dengan 18 mata.