PEMAIN muda sensasi Malayan Tigress bawah 17, Lim You meluahkan rasa bangga dan teruja dapat menyarung jersi skuad wanita bawah 17 negara (Malayan Tigress) buat pertama kali dalam kariernya.
Nama Lim You menjadi bualan hangat peminat bola sepak tempatan selepas mempersembahkan aksi luar biasa dengan menjaringkan tujuh gol ketika membantu Malaysia menewaskan Arab Saudi 9-1 di peringkat kumpulan kelmarin.
Pemain berusia 14 tahun itu tetap bersikap rendah diri dan enggan mengambil kredit bersendirian.
“Saya sangat bersyukur dengan pasukan dan barisan jurulatih kerana dapat membantu saya, membantu pasukan melangkah ke separuh akhir,” katanya dalam sesi temu bual media secara dalam talian.
Walaupun kini membesar di Washington, Amerika Syarikat, pemain kelahiran Taiwan ini mendedahkan bahawa kedua-dua ibu bapanya merupakan anak jati Johor dan mengakui terdapat sedikit cabaran, terutamanya dari segi jurang bahasa.
“Pada mulanya agak sukar kerana halangan bahasa dan saya tidak begitu fasih berbahasa Melayu.
“Namun, saya sangat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan menimba pengalaman bersama mereka,” tambah beliau.
Lim You turut menyatakan bahawa beliau sangat bersyukur atas semua sokongan dan terima kasih kepada semua peminat dan mereka akan buat yang terbaik untuk membawa pulang Piala Srikandi Merdeka buat Malaysia.
Dalam pada itu, Sementara itu, Ketua Jurulatih, Fairuz Montana menyifatkan Lim You sebagai pemain berusia 14 tahun yang sangat berbakat dan menegaskan skuadnya sedia memberikan saingan habis-habisan menjelang perlawanan separuh akhir menentang Thailand.
Kredit Gambar: Facebook Rasmi Football Association of Malaysia