Oleh MOHD FARIQ

PEJAM celik masa dilihat berlalu cukup pantas di mana esok kita dapat melihat Datuk Hamidin Mohd Amin bakal menyambut ulang tahun kelima sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaikan kisah Cinderella, anak jati dari Gombak, Selangor ini sebelum ini telah melakar sejarah tersendiri menjadi individu pertama dari kalangan orang biasa untuk menerajui pucuk kepimpinan tertinggi badan induk persatuan itu.

Pun begitu, karakter Hamidin seperti saya kenali sejak 30 tahun yang lalu kekal sama.

Sosok yang berminat bekerja di belakang tabir, tidak gemar mencuri publisiti dan hanya mahu kekal konsisten berusaha keras dalam memastikan pasukan kebangsaan negara berada di mercu yang lebih baik.

Mungkin ramai melihat Hamidin tampak mudah serta santai mengendalikan persatuan besar seperti FAM tetapi realitinya hanya jauhari mengenal manikam.

Suka atau tidak, kita harus akui bahawa bukan semua keputusan yang dilakukan beliau dapat menyenangkan hati semua pihak tetapi saya percaya Hamidin harus membuat keputusan berdasaskan kedudukan semasa serta terbaik untuk bola sepak kebangsaan mahupun FAM.

Banyak liku-liku perjalanan beliau sebagai Presiden FAM khususnya ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang jelas menjadi detik paling sukar tetapi Hamidin dengan jayanya dapat menempuhi situasi itu dengan baik.

Kim Pan-gon

Begitu juga cabaran beliau untuk mendapatkan sentuhan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang akhirnya menjadi misi serampang dua mata iaitu dapat melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2024 dan peningkatan ranking Harimau Malaya ke tangga yang lebih baik.

Namun Hamidin sedar bahawa beliau bukanlah nirmala di mana beliau peka dengan kedudukan jawatannya adalah paling senang untuk dikritik oleh pelbagai pihak kerana bola sepak sentiasa ada cerita dan kekangan tertentu.

Malah saya juga ingin berkongsi kepada semua di mana Hamidin juga adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada rasa kecewanya menjadi Presiden FAM.

Mengenali beliau yang tidak sesekali pudar cintanya kepada bola sepak, Hamidin tidak terlepas rasa sedih apabila dua atau tiga sasaran tidak berjaya ditepati dalam perancangan F:30 dan apa yang boleh beliau dapat lakukan; simpan kekecewaan itu di dalam bentak hatinya.

Namun sebagai pemimpin, Hamidin sentiasa mengakui bahawa setiap hari adalah proses pembelajaran bagi beliau.

Saya setuju kerana saya sendiri melihat Hamidin menyedari tidak bukan serba tahu tetapi sebaliinya beliau terus belajar untuk menjadi Presiden FAM.

Apatah lagi anjakan Hamidin selepas menjadi ahli majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di mana sekali lagi beliau mahu memanfaatkan platfoem badan induk global itu sebagai medan mencari ilmu untuk masa depan bola sepak Malaysia.

Malah Presiden FIFA, Gianni Infantino sendiri melabelkan beliau; ‘Hamidin itu bola sepak, bola sepak itu Hamidin’ antara mesej jelas Presiden FAM ketujuh ini disenangi domestik mahupun di peringkat antarabangsa.

Mungkin ada yang ingat Hamidin mahu menjadi lebih lama sebagai Presiden FAM tetapi saya dapat beri jaminan bahawa sangkaan anda silap.

Ini kerana Hamidin tahu tiada jawatan yang boleh dipegang untuk selama-lamanya tetapi apa yang beliau mahu buktikan adalah untuk terus berikan yang terbaik serta menjaga amanah sebagai Presiden FAM.

“Sikit pun saya tidak bermimpi untuk menjadi Presiden FAM buat tempoh lama tetapi saya berada di sini kerana kepercayaan dan amanah daripada ahli gabungan FAM serta semua pihak yang membuatkan saya harus bertanggungjawab untuk memastikan bola sepak Malaysia berada yang lebih baik.

“Namun saya secara peribadi mahu junjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) antara tokoh yang banyak membantu saya dan baginda beri kepercayaan kepada saya untuk meneruskan legasi sebagai Presiden FAM,” itulah bicara Hamidin kepada saya sebelum ini.

May be an image of 10 people, people playing American football, people playing football and text

Apa yang pasti, impiannya sama seperti kita semua – mahu melihat Malaysia boleh melangkah jauh di pentas antarabangsa di mana sentuhan Hamidin juga yang berjaya membawa Harimau Malaya bermain di kejohanan elit, Piala Asia 2024 akan datang.

Itulah atma Hamidin untuk bola sepak negara.

Itulah juita Hamidin untuk bola sepak negara.

Itulah Hamidin demi lencana di dada.