MALAYSIA akan kembali ke pentas berprestij FIM MiniGP World Series Final di Valencia, Sepanyol minggu hadapan dengan gandingan lima pelumba FIM MiniGP Malaysia Series untuk menjulang nama negara dipentas kejuaraan motosikal dunia.

Pasukan Malaysia diwakili oleh Farish Hafiy, Emil Idzhar dan Adi Putra yang akan menggantikan Farres Putra yang mengalami kecederaan semasa perlumbaan Asia Talent Cup minggu lepas bagi kategori 190cc manakala Qabil Irfan dan Airel Marzuki didalam kategori 160cc yang akan bertanding dilitar Ricardo Tormo dan ia bakal menentukan siapakah akan bergelar juara dunia bagi FIM MiniGP World Series anjuran Dorna, promoter kejuaraan MotoGP.

Kejuaraan yang dijadualkan bermula pada 21 November dengan latihan bebas dan bersaing menggunakan jentera Ohvale, sesi kelayakan akan diadakan pada 22 November sebelum perlumbaan berlangsung pada 23 November untuk menobatkan juara dunia musim 2023 bagi kedua-dua kelas 190cc dan 160cc.

Bersaing dalam kelas 190cc yang diperkenalkan untuk musim 2023, ini adalah kunjungan kedua ke World Finals untuk Farish Hafiy, Emil Idzhar, dan Adi Putra yang pernah bersaing dalam kategori 160cc sebelum ini. Manakala Qabil Irfan, yang berusia 11 tahun menjadi sandaran utama negara untuk saingan kelas 160cc pada tahun ini, juga kembali untuk kali kedua selepas prestasi memberangsangkan tahun lepas dengan menempatkan diri di tempat keempat keseluruhan.

Bagi pelumba Airel Marzuki dan ini merupakan kejuaraan kali pertama peringkat dunia selepas memenangi tiket untuk kejuaraan dunia, yang menghimpunkan pelumba terbaik dari kejuaraan siri MiniGP dari Alpe Adria, Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Portugal, Qatar, Sepanyol, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Mengulas penyertaan negara pada FIM MiniGP World Series Final tahun ini, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata kelima-lima pelumba bakal bersaing dengan berbekalkan persiapan rapi dan pengalaman lebih mendalam bagi memastikan keputusan yang membanggakan tahun ini.