KELAB Manchester United berdepan satu lagi kecederaan pemainnya.

Ia berlaku selepas dilaporkan pemain tengah, Donny van de Beek yang menuju ke lorong bilik persalinan lebih awal dan gagal kembali semula semasa pertembungan melawan Newcastle.

Menurut laporan dari wartawan Manchester Evening News, Samuel Luckhurst, Van de Beek tiba di St. James’ Park bersama pasukannya.

Namun, sejurus sebelum pertandingan bermula, dia masuk ke lorong menuju bilik persalinan dan tidak muncul kembali.

Pemain Belanda itu sebelumnya telah disenarai untuk bermain pada perlawanan itu, yang mana United kalah 1-0 hasil jaringan gol dari Anthony Gordon pada separuh masa kedua.

Hal ini berlaku selepas pengurus, Erik ten Hag berkata dia akan membenarkan pemain tengah itu pergi pada jendela perpindahan Januari depan.

Berbual sebelum pertembungan menentang Magpies, dia berkata: “Saya dapat melihat dia perlu bermain untuk kerjayanya dan untuk segala-galanya.”

Galatasaray merupakan salah satu kelab yang dilaporkan tertarik untuk menandatangani pemain berusia 26 tahun itu.

Van de Beek, yang bergabung dengan skuad Red Devils ditandatangani Ole Gunnar Solskjaer dari Ajax dalam perjanjian £35 juta (RM207.7 juta), secara terus-menerus mengalami kecederaan.

Pada musim lalu, dia kekal diketepikan untuk sebahagian besar permainan kerana kecederaan lutut. Dia hanya bermain selama 21 minit dalam Liga Perdana musim ini.

Van de Beek menjadi topik hangat perpindahan dari Real Sociedad pada musim panas sebelum perbincangan mengenai perpindahan itu terbatal.

Berbincang mengenai perpindahan yang gagal dilaksanakan itu, Van de Beek memberitahu Diario AS: “Saya hampir pergi ke Real Sociedad, tetapi pada saat akhir, kelab tidak dapat mencapai kata sepakat.”

“Saya perlu menyertai perlawanan dengan segera. Jika tidak di Manchester United, maka di kelab lain. Saya mendapat pendapatan yang baik di United, tetapi wang bukanlah motivasi saya,” tambahnya.