PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mengakui sangat terperanjat apabila mereka menerima geran peruntukan sebanyak RM3 juta dari Kementerian Belia dan Sukan dan ini dianggap sebagai pemangkin semangat buat semua atlet.

Presidennya, Dr Ong Shin Reunn mengakui beliau sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana melihat potensi atlet-atlet pekak ini dan akan menggunakan dana itu sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Orang Pekak (Deaflympic) 2025 di Tokyo, Jepun.

“Kami sangat terkejut untuk menerima peruntukkan sebanyak RM3 juta dari pihak kerajaan dan ini adalah kali pertama kami menerimanya dalam tempoh 20 tahun.

“Dana itu akan digunakan sebagai persiapan atlet kami ke Deaflympic Tokyo 2025 dan dengan adanya peruntukan ini, sesi latihan akan lebih giat dijalankan dan kami mensasarkan tiga pingat emas pada kejohanan kali ini,” katanya ketika sidang media Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik ke-10 di Kuala Lumpur.

Dalam sidang media yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan yang disalurkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) akan membantu MSDeaf untuk menguruskan kewangan mereka.

“Kerajaan telah memperutukkan RM3 juta kepada MSDeaf buat kali pertama bagi mereka menghadapi Deaflympic 2025 dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kelulusan ini dan Majlis Sukan Negara selepas ini akan membantu dalam pengurusan kewangan.

“Kita di pihak KBS mahu menggunakan sukan sebagai satu platform untuk menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak mereka yang kelainan upaya kerana kita percaya mereka mempunyai bakat masing-masing yang perlu dicungkil,” katanya.

Malaysia menggantikan Iran sebagai tuan rumah Sukan Orang Pekak Asia Pasifik ke-10 dengan penyertaan dari 21 negara melibatkan tujuh sukan dan MSDeaf meletakkan lima pingat emas sebagai sasaran pada kejohanan ini.