Kredit Gambar: SEA Games Malaysia 2027

Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 bakal dimanfaatkan sebagai medan promosi bagi memperkenalkan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang akan berlangsung di Malaysia tahun depan.

Jawatankuasa Pengurusan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027 menjalinkan kerjasama dengan penganjur LTdL 2026 bagi menjadikan perlumbaan berbasikal berprestij itu sebagai antara saluran utama mempromosikan temasya berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata kerjasama itu dilihat mampu memberikan pendedahan lebih meluas kepada penganjuran dua temasya sukan berkenaan, termasuk kepada penonton di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pakej promosi yang ditawarkan LTdL turut membuka ruang untuk kempen Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 diketengahkan menerusi siaran televisyen serta pelbagai saluran media sepanjang perlumbaan.

Antara elemen utama yang akan membawa identiti Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 ialah jersi Raja Pecut atau King of Sprint Jersey, yang akan digunakan sepanjang saingan LTdL 2026.

Selain itu, promosi turut dilaksanakan menerusi siaran langsung, liputan Astro Arena, Facebook dan YouTube, selain aktiviti di sepanjang laluan perlumbaan termasuk acara karnival dan pertandingan Voice of LTdL.

Abdul Rashid berkata LTdL menyediakan ruang promosi domestik yang besar kerana perlumbaan itu merentasi beberapa lokasi di Malaysia sebelum perlumbaan penutup di Putrajaya.

LTdL 2026 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada Ahad sebelum berakhir menerusi Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya pada 4 Oktober, dengan keseluruhan perlumbaan membabitkan jarak 1,285.5 kilometer.

Edisi ke-30 LTdL itu menyaksikan penyertaan 20 pasukan terdiri daripada dua pasukan WorldTeam, lapan ProTeam, sembilan pasukan benua serta satu pasukan kebangsaan Malaysia, sekali gus menyediakan platform besar untuk memperkenalkan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.