MALANG tiada datang tunggal, begitulah perumpaan yang boleh digambarkan menimpa pakar pecut berbasikal lebuhraya negara, Mohd Elmi Jumari, yang didenda 200 Swiss Franc (RM980) oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas menamatkan Peringkat 2, perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Menerusi keputusan rasmi yang dikeluarkan komisar kejohanan, Elmi didakwa menjadi punca kemalangan peringkat kedua, pada 150 meter terakhir menuju ke garisan penamat di Butterworth.

Gambar Elmi Jumari yang terlibat perlanggaran pada penamat Peringkat 2, LTdL2024 di Butterworth, menjadi tular.

Tidak cukup dengan itu, pelumba terbabit turut direlegasi ke kedudukan terakhir dan bertambah malang, kondisinya dilaporkan hampir kehilangan jari.

Jurulatih kebangsaan, Mohd Yusof Nasir mengesahkan bahawa jari tangan kiri pelumba berusia 34 tahun itu patah dan terkulai.

Perlumbaan Peringkat 2 |LTdL2024 bermula di Arau, Perlis.

Menurut Yusof, Elmi yang pada awalnya dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya, kini dipindahkan ke hospital swasta untuk mendapatkan penilaian dan rawatan lanjut.

“Saya dimaklumkan Elmi mengalami patah jari dan bukan putus seperti yang ditularkan.

“Dia berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan tetapi belum boleh menerima mana-mana pelawat ketika ini,” katanya ketika dihubungi.

Pelumba tempatan memberi saingan pada Peringkat 2.|LTdL2024

Perlumbaan LTdL peringkat kedua dimenangani oleh jaguh JCL Ukyo, Matteo Malucelli yang menamatkan saingan dengan catatan masa 3 jam 34 minit 54 saat.

Tempat kedua milik pelumba Polti Kometa, Manuel Penalve Aniorte dan ketiga, pelumba pasukan Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn.