PELUMBA JCL UKYO, Matteo Malucelli mencuri tumpuan apabila memenangi Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Arau ke Butterworth yang melibatkan jarak sejauh 154 kilometer (km).
Malucelli berjaya mengetepikan beberapa pakar pecut dari pasukan WorldTeam dan ProTeam untuk tiba terlebih dahulu di garisan penamat yang turut dibayangi kemalangan membabitkan ramai pelumba pada 50 meter (m) terakhir.
Pelumba berusia 31 tahun yang juga juara keseluruhan Tour Bulgaria tahun ini, melintasi garisan penamat dengan catatan tiga jam 34 minit 58 saat (s), untuk mengetepikan wakil Team Polti Kometa, Manuel Penalver dan sensasi tahun lalu dari Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn.
Pelumba kelahiran Itali itu menyifatkannya sebagai penamat yang sengit sehingga komisar membuat keputusan melalui photo finish dan memutuskan bahawa dia adalah juara bagi peringkat kedua.
“Saya masih tidak percaya dapat memenangi peringkat ini. Ia adalah kali pertama memenangi perlumbaan berstatus 2.Pro dan ia adalah saat yang indah.
“Saya masih belum memahami bagaimana hendak menggambarkan kemenangan ini,” katanya, yang juga seorang pakar pecut.
Ujar Malucelli, pada 200m terakhir dia melihat ada ruang terbuka dan nekad untuk melakukan henjutan sekali gus berjaya melakar sejarah buat dirinya serta pasukan.
“Kami berada dalam keadaan baik untuk mengharungi perlumbaan ini, terutama buat rakan tiga rakan sepasukan saya dari Jepun. Kami sangat berharap dapat memenangi saingan di sini kerana penting untuk memperbaiki ranking pasukan,” katanya.
Sementara itu jersi hijau bagi pendahulu keseluruhan kekal menjadi milik pelumba pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa (5:39:23s), diikuti Malucelli kurang 0:02s, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli di kedudukan ketiga (0:04s).
Syritsa turut mengekalkan jersi jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 23 mata, diikuti Malucelli (22) dan Penalver (17).
Aiman juga mengekalkan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dengan masa 5:39.27s, meninggalkan Ng Pak Hang (HKSI Pro Cycling) kurang 0:01s dan Yusri Shaari dari pasukan kebangsaan (0:05s).
Perlumbaan peringkat ketiga akan bersambung esok dari Taiping ke Cameron Highlands dengan jarak 175.7km, merangkumi tiga zon pecutan di Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Ipoh, selain tiga zon pendakian (Kuala Kangsar, Kampung Raja dan Berinchang).