JURULATIH perseorangan lelaki negara, Kenneth Jonassen memberi amaran bahawa laluan Leong Jun Hao di Masters Kumamoto kali ini jauh lebih berliku berbanding tahun lalu.

Jonassen menegaskan, selepas kejutan luar biasa yang dilakar Jun Hao musim lalu, pemain berusia 26 tahun itu kini bukan lagi nama kecil yang boleh dipandang ringan.

“Tahun lalu dia muncul dari bayangan dan mengejutkan ramai, tapi sekarang semua sudah mengenalinya, mereka sudah kaji cara permainannya, dan itu menjadikan tugasnya lebih sukar,” kata Jonassen.

Leong Jun Hao mencipta kejutan di Kumamoto Masters, Jepun tahun lalu hingga muncul naib juara selepas mengejutkan barisan pemain pilihan.

Jun Hao yang kini menghuni ranking dunia ke-22 pernah menumbangkan jaguh seperti Jonatan Christie, Lakshya Sen dan Kodai Naraoka sebelum tewas di final kepada Li Shi Feng pada edisi 2024.

Namun Jonassen mengingatkan bahawa setiap pemain dalam kelompok 60 terbaik dunia kini mampu menumbangkan mana-mana pemain dalam top 20, sekali gus menuntut ketelitian dan fokus sepenuhnya.

“Perseorangan lelaki sekarang sangat terbuka, tak ada perbezaan besar antara pemain ranking 20 dengan 60, semua boleh menang jika berani dan konsisten,” ujarnya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pada pusingan pertama esok, Jun Hao bakal berdepan pemain India, H. S. Prannoy, yang berada di ranking ke-34 dunia, dengan rekod pertemuan terikat 1-1 antara kedua-duanya.

Jonassen turut menaruh harapan kepada Justin Hoh yang bakal menentang Shogo Ogawa dari Jepun, sambil menegaskan pemain muda itu perlu menyeimbangkan variasi taktikal baharu tanpa mengorbankan identiti agresifnya.