KEJOHANAN Antarabangsa M8 Pushbike Malaysia yang dijadual berlangsung 4 dan 5 Mac hadapan, berjaya menarik 500 penyertaan daripada sembilan negara.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, penganjuran kejohanan tersebut adalah antara usaha melahirkan pelumba cilik bertaraf antarabangsa di negara ini.

Menurutnya, penganjuran kali ini memberikan kejutan tersendiri kerana dapat menarik penyertaan dari pelbagai negara selain Malaysia, iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

“Apabila pendaftaran dibuka, dalam tempoh lima jam sahaja, lebih 100 permohonan dari luar negara kami terima. Sehingga kini sudah 250 peserta luar negara mengesahkan penyertaan.

“Untuk memastikan kualiti penganjuran, kami terpaksa hadkan jumlah pesera luar negara kerana faktor masa dan tempat selain memberi peluang kepada pelumba tempatan untuk sama-sama menyertai pertandingan ini,” ujarnya.

Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli.

Acara tahunan tersebut berlangsung di Pusat Latihan M8, Kajang yang menyaksikan penyertaan terbanyak datang dari Indonesia iaitu seramai 100 peserta.

Tambah Wan Mohd Muzri, perlumbaan pushbike bertaraf antarabangsa tersebut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

“Sebelum ini, kejohanan tersebut telah mendapat sokongan Kementerian Pelancongan. Tahun ini, pastinya lebih hebat. Terima kasih kepada kementerian yang terus memberi kepercayaan kepada M8.

“Kami berharap dalam penganjuran kali ini, pihak kementerian akan dapat memberi sokongan penuh sekali lagi kepada kami selaku penganjur.

“Dalam masa sama, kami berharap penganjuran ini dapat membantu melahirkan atlet cilik terbaik dan juga menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia seterusnya mempertingkatkan ekonomi setempat,” jelasnya.

Pelumba pushbike negara, Maleeq Dragster memahat nama di kejohanan antarabangsa di luar negara.

Sementara itu, Wan Mohd Muzri berharap melalui pertandingan tersebut, Malaysia dapat menjadi hub pertandingan pushbike terbaik di Asia, sekali gus dapat melahirkan atlet cilik yang berwibawa dan seterusnya menjadikan Malaysia tumpuan dunia.

“Penganjuran ini bukan sahaja di peringkat pushbike pada usia dua hingga sembilan tahun. Tetapi dengan lahirnya yang berbakat dapat memberi peluang ke peringkat lebih baik melalui perancangan dari M8 bersama rakan kerjasama.

“M8 bakal bekerjasama tahun ini bersama ZK Racing dan SIC Racing dgn penganjuran bersama pushbike dengan sukan lumba motor iaitu FIM MiniGP Malaysia dan SIC Ohvale Junior Championship.

“Malaysia juga bakal mempertaruhkan bakat hebat lain antaranya Maleeq Dragster yang akan berlumba untuk kategori lima tahun. Diharapkan agar Maleeq mampu mempertahankan kejuaraannya dalam kejohanan sebelum ini,” kongsinya.